TM sedia hadapi laluan sukar

KUALA LUMPUR, 2 APRIL – Laluan sukar untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020  tidak menghalang usaha Taekwondo Malaysia (TM) daripada mengambil kesempatan penangguhan temasya sukan terbesar dunia itu untuk mempersiapkan atlet negara.

Sukan tersebut kali terakhir mempunyai wakil Malaysia di pentas Olimpik 12 tahun lalu apabila Elaine Teo dan Che Chew Chan beraksi dalam kategori wanita bawah 57 kilogram (kg) dan 67kg pada edisi 2008 di Beijing.

Selepas itu, tiada atlet negara layak pada edisi 2012 di London dan 2016 di Rio de Janerio manakala peluang untuk layak ke Olimpik Tokyo 2020, yang ditangguh sehingga Julai tahun depan, nampak suram.

Hanya hanya enam atlet utama dalam ranking dunia serta finalis pusingan kelayakan Asia bagi setiap kategori layak ke Tokyo.

Pengarah Teknikal TM, R. Dhanaraj, berkata susulan penangguhan Sukan Olimpik, ia memberi lebih banyak masa untuk persatuan itu membuat persediaan dan mendedahkan atlet kyorugi di peringkat lebih tinggi bagi memastikan mereka dapat menandingi atlet handalan dunia. – Bernama