TMT catat pertumbuhan jualan 100 peratus

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Kerjasama gedung peralatan teknologi maklumat (IT) terbesar di Malaysia, TMT oleh Thunder Match (TMT) dan platform beli-belah dalam talian, Shopee membuahkan hasil selepas mencatatkan pertumbuhan 100 peratus hasil jualan.

Pengarah Urusan TMT, Adrian Yu berkata kerjasama sejak 2017 itu terus menunjukkan peningkatan yang menggalakkan dengan hasil jualan harian RM10,000 melonjak kepada purata RM100,000 sehari.

“Sebelum beralih ke Shopee, kami menjual produk di lebih 100 cawangan dan juga di laman web kami sendiri. Jumlah pendapatan jualan adalah baik namun masih tidak dapat untuk menguasai permintaan.

Calvin Teng (kiri) berjabat tangan dengan Adrian Yu (kanan) selepas sesi temu bual mengenai kerjasama antara Shopee dan TMT by Thunder Match di The Garden, baru-baru ini. – Bernama

“Dengan data 12 juta pelanggan yang dimiliki Shopee, ia terus meyakinkan kami untuk bekerjasama. Disamping itu, kerjasama ini menawarkan kemudahan, nilai dan penjimatan kepada pelanggan,” katanya kepada Bernama.

Yu berkata setakat ini terdapat sebanyak 3,000 produk seperti telefon pintar, komputer riba dan gajet elektronik dari kedai TMT di platform Shopee.

“Ia sejajar dengan pelan jangka panjang dan tranformasi digital TMT untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai peruncit IT terbesar di Malaysia menerusi pasaran dalam talian dan luar talian, disamping mengikut peredaran masa hari ini yang semuanya di hujung jari,” katanya. – Bernama