KUALA LUMPUR, 9 April – Tenaga Nasional Bhd (TNB) memenangi dua anugerah emas di Anugerah dan Sidang Kemuncak Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ke-9 dan Anugerah Tadbir Urus Baik Global 2017 di Langkawi baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat utiliti itu berkata, anugerah terlibat ialah Anugerah Program Komuniti Terbaik untuk syarikat dengan permodalan pasaran lebih US$1 bilion dan Anugerah Amalan Tempat Kerja Terbaik.
Anugerah Program Komuniti Terbaik diberikan bagi mengiktiraf komitmen dan penajaan TNB dalam memperkasa pembangunan hoki di Malaysia, terutama di kalangan remaja, katanya.
Sementara itu, Anugerah Amalan Tempat Kerja Terbaik pula bagi menghargai pelbagai usaha kebajikan kakitangan TNB melalui pelaksanaan pelbagai dasar dan amalan terbaik. – Bernama