Thursday, April 24, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    TNB terus aktif jana RE

    KUALA LUMPUR, 17 Sept – Tenaga Nasional Bhd (TNB) terus memainkan peranan aktif dalam menyokong sasaran penjanaan tenaga diperbaharui (RE) Malaysia dengan memanfaatkan daya saing dan kekuatannya di dalam dan di luar negara.

    Dalam satu kenyataan hari ini, TNB berkata syarikat utiliti negara itu telah mengadakan usaha sama untuk stesen penjanaan kuasa biomas, antaranya, di Jengka, Pahang dengan Felda dan dua stesen jana kuasa biogas di Layang-Layang, Johor dan Bagan Datuk, Perak dengan Sime Darby.

    Syarikat juga telah mengadakan usaha sama untuk dua stesen jana kuasa biogas di Puchong dan Jeram, Selangor dengan Worldwide Holdings.

    Selain biomas dan biogas, TNB juga telah memulakan projek Solar Berskala Besar (LSS) pertama di negara ini melalui projek 50 megawatt (MW) di Kuala Langat, Selangor.

    “Projek itu, yang akan dibina di tapak seluas 98 hektar, berfungsi sebagai pemangkin kepada aspirasi TNB dalam membangunkan projek RE di negara dan rantau ini,” katanya.

    Menurutnya lagi, apabila siap pada November 2018, kapasiti elektrik TNB yang dihasilkan daripada sumber RE akan meningkat kepada 73.2MW daripada 23.2MW pada masa ini.

    Bagi membiayai projek itu, TNB berkata syarikat telah mendapat pembiayaan dan keperluan modal kerja berjumlah RM348 juta dari Affin Islamic Bank pada 19 Julai.

    “Projek LSS akan menyediakan pekerjaan untuk penduduk berdekatan semasa peringkat pembinaan dan kemudian, pendedahan pendidikan kepada orang ramai, khususnya pelajar mengenai teknologi solar dan operasi projek tenaga solar,” katanya.

    Sementara itu, sebagai sebahagian daripada usaha RE antarabangsanya, TNB telah mengambil alih portfolio aset RE utama dalam solar, angin dan hidro di United Kingdom, Turki dan India dengan kapasiti penjanaan terkumpul hampir 600MW.

    Langkah itu mencerminkan komitmen syarikat untuk mengembangkan perniagaan RE dan untuk memperjuangkan usaha RE di Malaysia dan ASEAN, katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda