BERN, SWITZERLAND, 6 MAC – Imej kemuncak gunung Matterhorn akan lenyap tidak lama lagi daripada bungkusan coklat Toblerone disebabkan pemilik jenama Amerika Syarikat (AS) itu akan memindah beberapa pengeluaran di luar Swirtzerland.
Akhbar Swiss, Aargauer Zeitung melaporkan Mondelez International, yang mengeluarkan pek coklat segi tiga itu, akan mengubah corak gunung yang digambarkan di pembungkusan kadbod supaya tidak melanggar Akta Swiss.
Menurut laporan Bloomberg, Mondelez mendedahkan pada 2022 bahawa ia merancang memindahkan beberapa pengeluaran Toblerone ke ibu negara Slovakia, Bratislava.
Syarikat itu akan menukar corak pembungkusan untuk menggambarkan gunung yang lebih generik dan bukannya Matterhorn, lapor akhbar itu.
“Reka bentuk bungkusan akan memperkenalkan logo gunung moden sejajar dengan estetik geometri dan segi tiga,” beritahu jurucakap Mondelez kepada Aargauer Zeitung.
Pembalut Toblerone kini akan berbunyi ‘dikeluarkan di Switzerland’ dan bukannya ‘dari Switzerland’.
Di bawah Akta Swiss yang diluluskan pada 2017, simbol negara tidak dibenarkan pada pembungkusan produk yang tidak memenuhi kriteria Switzerland.
Akta itu menetapkan ramuan makanan yang menggunakan lambang negara Swiss atau mendakwa ‘dibuat di Switzerland’ mesti mempunyai sekurang-kurangnya 80 peratus daripada bahan mentah produk datang dari Switzerland dan 100 peratus untuk susu dan produk tenusu, dengan kekecualian bahan mentah yang tidak ditemui di Switzerland, seperti koko. – Agensi
