Tok Ram nasihat Upiak Isil tukar corak persembahan

Memberikan persembahan mendatar meskipun sudah memasuki minggu kelima konsert Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), ketua juri Datuk Ramli MS menasihati penyanyi Upiak Isil agar tidak berasa selesa dengan kedudukan itu.

Biarpun bernasib baik tidak tersingkir, namun Ramli atau mesra disapa sebagai Tok Ram berharap penyanyi Indonesia itu mengubah corak persembahannya.

“Kalau dia masih kekal dengan konsistensi begitu, dia akan berada di kedudukan belakang sahaja. Kalau main bola pun, ibaratnya dia duduk di belakang. “Harus anda semua tahu bahawa saya tidak punya kawalan dalam persembahan mereka. Seorang penyanyi atau peserta cuma ada dirinya ketika berada di pentas.

“Kalau tak mampu nak buat persembahan yang bagus, maka akan tersingkirlah,” kata Tok Ram kepada mStar.

Tok Ram selaku juri tetap ditemui ketika selesai konsert GV8 minggu kelima di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada Ahad. Pada konsert minggu kelima itu, Upiak mendapat markah tercorot namun nasibnya baik apabila tiada penyingkiran dan dapat meneruskan persembahan.

Dalam pada itu, suami kepada penyanyi Alyah ini menafikan dia dan juri lain mempunyai hak atau peranan berhubung tiada penyingkiran pada minggu kelima.

“Kalau dilihat memang Upiak berada di tangga bawah. Ini pemilihan majoriti. Tetapi tiadanya penyingkiran bukan kerana saya yang berkehendakkan.

“Hak cipta program adalah milik Astro. Ini kali kedua tiada penyingkiran berlaku dalam program ini dan ia bukan bidang kuasa saya.

“Mana tahu kalau-kalau pihak Astro memang nak bawa 10 peserta mara ke peringkat akhir bukan? Kita tidak tahu. Macam apa yang berlaku, Upiak pada saya cuma bernasib baik,” ujarnya. – Agens

Tok Ram tegur persembahan Upiak yang dilihat mendatar. – Agensi