Tok Ram syukur sempat tengok anak perempuan naik pelamin

Pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS melahirkan rasa syukur apabila masih diberikan kesihatan yang baik untuk melihat anak perempuannya iaitu Nadiah Ramli berkahwin pada Februari lalu.

Menganggap setiap manusia akan melalui fasa yang sama, Ramli atau lebih mesra disapa sebagai Tok Ram berjanji untuk tidak mencampuri kehidupan baharu puterinya itu.

“Kita semua akan lalui fasa berkahwin, ada anak, dapat menantu, cucu, sakit dan meninggal dunia. Itu semua adalah sebahagian daripada kehidupan.

“Secara peribadi, saya sangat bersyukur kerana dapat lalui fasa itu dengan dikurniakan kesihatan yang baik di usia sekarang… dapat tengok anak berkahwin.

“Saya tidak mahu campur dalam urusan kehidupan dia tapi saya tetap akan sokong sahaja apa yang dia nak. Selagi perkara itu tidak memerlukan saya… biarlah dia dengan kehidupan baharu,” katanya kepada wartawan.

Tok Ram berkata dia tidak mencampuri kehidupan puterinya itu dan menganggap semua adalah sebahagian daripada kehidupan. – Agensi

Suami kepada penyanyi Datin Alyah ini ditemui ketika sidang media di Serdang, baru-baru ini.

Nadiah adalah anak hasil daripada perkahwinan bersama bekas isteri, Jennifer Thompson, selain mempunyai seorang lagi anak lelaki bernama Najee.

Dalam pada itu, pengarah muzik berusia 63 tahun ini bakal berkongsi ilmu dan pengalamannya selama 47 tahun dalam industri muzik menerusi program terbaharunya iaitu Panggung Tok Ram.

Mengakui ramai artis generasi baharu tidak mengutamakan jati diri dan tatasusila, Ramli berkata dia mahu mencipta masa depan yang lebih baik untuk barisan pelapisnya.

“Kalau saya tak gunakan segala ilmu yang ada untuk dicurahkan kepada bakat-bakat baharu yang akan menjadi pelapis tanah air ini, rugilah. Lagipun bukan boleh dibawa mati, betul tak?

“Memang saya nak latih bakat-bakat baharu supaya apabila mereka sudah bersedia muncul sebagai artis dalam dunia sebenar, mereka tidak akan lalui kejutan budaya,” ujarnya. – Agensi