Tokyo 2020: Atlet masuki fasa penting

KUALA LUMPUR, 23 JUN – Atlet negara yang sedang bersemangat tinggi untuk beraksi cemerlang di Sukan Olimpik Tokyo, kini memasuki fasa paling penting menjelang 30 hari lagi sebelum temasya terbesar dunia itu berlangsung.

Seramai 23 atlet Malaysia telah mengesahkan tempat di temasya sukan terbesar dunia itu, manakala beberapa lagi atlet masih menunggu pengesahan daripada persatuan sukan antarabangsa masing-masing tatkala tempoh kelayakan akan tamat dalam masa terdekat.

Tempoh 30 hari menjelang Olimpik Tokyo yang dijadualkan bermula dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini, perlu digunakan dengan sebaiknya oleh para atlet bagi memastikan mereka dapat mempamerkan prestasi terbaik selain mengelakkan risiko kecederaan yang mampu mengorbankan impian mereka beraksi di Olimpik. Olimpik kali ini  juga sangat berbeza kerana diadakan dalam situasi pandemik COVID-19 yang belum reda. – Bernama