TOKYO, 30 JUN – Kebimbangan berterusan mengenai kemungkinan berdepan kegelapan di Tokyo meningkat hari ini ketika loji kuasa termal di timur laut Jepun terjejas selepas gangguan teknikal, ketika cuaca panas mencecah rekod dalam keadaan yang tidak pernah dilihat pada bulan Jun selama hampir 150 tahun.
Operator loji kuasa arang dan minyak Nakoso di wilayah Fukushima, Joban Joint Power Co mengatakan sekitar 3 pagi waktu tempatan, unit No 9 loji itu ditutup selepas alat pengalih udara didapati bergetar.
Operator loji itu mengatakan ia berhasrat menghidupkan semula unit itu dan mula membekalkan tenaga ke kawasan perkhidmatannya yang meliputi sejumlah besar kawasan di timur Jepun, termasuk Tokyo menjelang malam esok.
Kementerian industri Jepun walau bagaimanapun mengatakan tiada risiko segera bekalan kuasa terputus meskipun permintaan bagi tenaga di Tokyo meningkat ketika suhu mencecah 36.4 darjah Celsius, rekod tertinggi bagi Jun sejak 1875 ketika negara itu mula menyimpan rekod.
Kerajaan dalam empat hari berturut-turut telah mengeluarkan amaran kepada Tokyo dan kawasan sekitarnya kemungkinan berlakunya kekurangan tenaga jika perniagaan dan penduduk tidak mengikuti langkah-langkah diperlukan untuk menjimatkan tenaga. – Xinhua
