Oleh Raz AS
Seiring dengan peredaran zaman dan kemajuan teknologi, dunia pancing tidak henti-henti dibanjiri dengan idea dan produk baharu.
Kadang-kadang, idea dan produk tersebut datang dan pergi kerana kurang berjaya dan tidak mendapat sambutan seperti yang diharap-harapkan oleh penciptanya. Malah tidak kurang juga ada yang dianggap sebagai ‘minyak ular’ yang bertujuan untuk mengaut keuntungan semata-mata.
Walau bagaimanapun, sesetengahnya lagi, yang terbukti penuh inovasi dengan kejayaan hasilnya untuk menangkap ikan telah menambat hati pemancing di seluruh dunia. Antara salah satu inovasi terbaharu dalam dunia pancing, beberapa tahun kebelakangan ini, yang hangat diperkatakan dan popular dalam dunia pancing adalah Tokyo Rig.
Tokyo Rig seperti yang dapat kita lihat sendiri daripada namanya, merupakan antara kaedah baharu yang muncul dari negara matahari terbit, Jepun, dan semakin mendapat tempat di Amerika Syarikat.
Tokyo Rig jika ingin diterangkan bagaimana rupa bentuknya, ia merupakan sebentuk mata kail yang dihubungkan dengan dawai pendek kira-kira 3 inci, di mana batu kail akan dimasukkan dan hujung dawai itu dibengkokkan. Mata kail dan dawai tersebut dihubungkan dengan menggunakan sebentuk ring yang juga mempunyai kili-kili bagi mengelakkan tali berpintal.
Meskipun ia boleh didapati di pasaran, dalam pelbagai varieti bentuk mata kail, namun awda boleh membuatnya sendiri dengan menggunakan sepotong dawai tebal, sebentuk split ring, kili-kili dan mata kail pilihan awda .
Kelebihan yang ada pada Tokyo Rig, awda boleh menggunakan umpan softplastic kegemaran dengan matakail weedless, yang menjadikannya antisangkut, awda juga boleh menambah batu atau menukar batu dengan pantas sesuai untuk keperluan padang pancing dan teknik awda tanpa perlu memotong tali atau melepaskan lure dari mata kail atau tali.
Dengan kebebasan memilih lure dan berat batu sendiri, penggunaan Tokyo Rig sangat versatil, ia boleh digunakan di mana sahaja pada bila-bila masa dengan pelbagai teknik. Antara teknik-teknik yang popular digunakan bersama Tokyo Rig adalah seperti pitching and flipping, drop shot dan digunakan bersama swimbait. Meskipun begitu ia tidak terhad pada itu sahaja, terpulang sendiri mengikut kreativiti masing-masing.
Teknik pitching and flipping, merupakan kaedah paling popular digunakan bersama Tokyo Rig. Kaedah ini selalunya digunakan bersama Texas Rig, di mana pemancing akan menyasarkan kawasan-kawasan yang dipenuhi tumbuhan seperti lalang di tebing-tebing sungai untuk mengoda ikan yang bersembunyi di sebalik tumbuhan. Walau bagaimanapun, dengan menggunakan Tokyo Rig jatuhan umpan akan ternampak lebih natural berbanding menggunakan Texas Rig.
Meskipun Tokyo Rig pada awalnya diperkenalkan untuk memancing ikan bass, namun ia tidak terhad untuk spesies ikan air tawar itu sahaja. Dengan menggunakan kaedah drop shot, pemancing boleh menduga kawasan-kawasan dalam tidak kira lah untuk pancingan estuari mahupun perairan luar pantai. Ia boleh dianjun-anjunkan atau diheret di dasar laut untuk memikat spesies-spesies dasar seperti kerapu dan ikan merah.
Selain itu, ia juga boleh digunakan untuk teknik casting bersama swimbait seperti paddle tail, semakin berat batu yang digunakan semakin cepat lure mencecah ke dasar, tambahan lagi dengan gandingan batu berat retrieve yang lebih pantas juga boleh dilakukan kerana umpan tidak akan ternaik meninggalkan zon strike seperti yang berlaku jika menggunakan jighead.