SEOUL, 7 MEI – Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida berkata hari ini ‘hatinya sakit’ melihat rakyat Korea yang menderita di bawah penjajahan, ketika Seoul dan Tokyo berusaha memulihkan semula hubungan yang telah lama tegang ekoran ancaman Korea Utara.
Kishida berada di Seoul pada lawatan dua hala rasmi pertama oleh seorang pemimpin Jepun ke Korea Selatan dalam lebih sedekad.
Beliau bertemu Presiden Yoon Suk Yeol, yang telah menjadikan hubungan lebih baik dengan Jepun sebagai keutamaan bagi pentadbirannya.
“Hati saya sakit kerana ramai orang melalui pengalaman yang sangat sukar dan sedih dalam persekitaran teruk pada masa itu,” kata Kishida, bercakap selepas sidang kemuncak bersama Yoon.
Yoon berkata lawatan Kishida menunjukkan ‘diplomasi ulang-alik’ lawatan bersama secara berkala dan perbincangan peringkat tinggi kembali ke landasan, selepas tertangguh lama semasa pertikaian perdagangan berkaitan isu buruh paksa.
“Berdasarkan persahabatan dan kepercayaan yang saya ada dengan Perdana Menteri Kishida, saya akan menggalakkan kerjasama dua hala yang lebih mendalam ke arah masa depan baharu,” kata Yoon, yang berada di Tokyo pada Mac. – AFP
