Tolong doakan saya tidak ditidurkan – Aishah

Emosi penyanyi Aishah, 56, yang positif COVID-19 agak terganggu apabila paras oksigennya turun mendadak, hari ini.

Ini ditambah apabila dia melihat seorang pesakit di hadapan katilnya dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk ditidurkan.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin yang kini dirawat di Hospital Ampang menerusi hantaran video di Instagram mengharapkan dia tidak menerima nasib seperti itu.

“Ya Allah, mental tak kuat hari ini apabila pesakit di hadapan saya dibawa naik untuk ditidurkan.

“Pagi tadi paras oksigen saya pada kadar 98 peratus dan mereka (kakitangan hospital) cuba hendak buka. “Apabila pergi ke tandas dan balik semula ke katil, paras oksigen turun mendadak 88 peratus. Selepas guna semula alat bantuan pernafasan, barulah paras oksigen meningkat 95 peratus

“Teman-teman, tolong doakan saya supaya tidak menjalani prosedur seperti itu (intubasi),” katanya. Tanpa berselindung, dia mengakui tidak bersedia mengharungi situasi membabitkan antara hidup dengan mati seperti itu.

“Saya takut. Saya masih ada banyak tanggungjawab kepada keluarga, anak-anak dan hal lain yang masih belum diselesaikan.

“Sangat mengharapkan doa kawan-kawan supaya saya tidak melalui prosedur itu. Ampunkan dosa-dosa saya sekiranya pernah terkasar bahasa dan sebagainya,” katanya.

Rakan-rakan artis dan peminat pula tidak membiarkan Aishah keseorangan apabila memberikan kata-kata semangat dan mendoakan dia terus diberi kekuatan berdepan ujian itu dan segera sembuh. – Agensi

Aishah mengharapkan doa kawan-kawan supaya saya tidak ditidurkan. – Agensi