Tom Cruise rugi ribuan pound

Aktor Hollywood, Tom Cruise kehilangan bagasi yang bernilai ribuan pound setelah kereta BMW milik pengawal peribadi di Birmingham telah dicuri.

Menurut THE SUN, pencuri itu telah menggunakan pengimbas untuk meniru isyarat dari keyless ignition fob kereta mewah tersebut selepas ia diletakkan di luar hotel Birmingham.

“Tom telah memandu kereta itu ketika berada di Birmingham dan beberapa bagasi dan barangan miliknya berada di dalam kereta tersebut. Kenderaan itu berjaya ditemui oleh polis kerana ia dilengkapi dengan alat pengesan elektronik tetapi semua barangan yang ada di dalamnya sudah hilang,” kata sumber.

Tom dilaporkan sedang menjalani penggambaran filem blokbuster yang akan datang di sebuah pusat membeli-belah bersama gandingannya, Hayley Atwell.

Pengawal yang menjaga keselamatan bintang itu mendapati kenderaan jenis BMW X7 tersebut telah hilang dari tempat letak kereta pada awal Rabu lalu.

Sumber turut menyatakan pencuri dapat mencuri kereta berwarna hitam tersebut hanya dalam masa beberapa minit setelah memintas isyarat fob. Difahamkan, kejadian berlaku setelah ia ditinggalkan di luar Grand Hotel yang hanya dua minit berjalan dari Ibu Pejabat Polis West Midlands.

Kereta baharu itu dipercayai berada di tempat letak kereta yang tidak selamat dan dilindungi penghalang yang disyorkan oleh hotel dalam jarak lapan minit berjalan kaki. – Agensi

Tom Cruise kehilangan bagasi yang bernilai ribuan paun setelah kereta BMW milik pengawal peribadi di Birmingham telah dicuri. – Agensi