Tomic: Tenis hanya sekadar ‘tugas’

SYDNEY, 24 Julai – Bintang Australia, Bernard Tomic mengakui dia sudah tidak mempunyai perasaan bagi sukan yang memberikannya pendapatan berjuta itu, berkata ia hanyalah satu tugas dan dia merasa ‘terperangkap’.

Dalam temu bual televisyen Australia, pemain berusia 24 tahun itu memberitahu peminatnya untuk berada di rumah berbanding membayar untuk menontonnya beraksi jika mereka tidak tahan dengan telatahnya di atas gelanggang.

“Jangan datang,” kata Tomic lewat semalam. “Hanya tonton menerusi TV, anda tidak perlu membayar apa-apa.”

Tomic, yang menjadi tumpuan dengan denda AS$15,000 selepas mendakwa dia ‘bosan’ ketika kekalahan pusingan pertamanya di Wimbledon bulan lalu, berkata dia berada di persimpangan di antara komitmen penuh dan sikap acuh tidak acuh di atas gelanggang.

“Sepanjang kerjaya, saya memberikan 100 peratus. Saya juga memberikan 30 peratus. Tetapi jika anda mengimbanginya, saya rasa sepanjang kerjaya saya adalah sekitar 50 peratus,” katanya dalam satu temu bual.

“Saya tidak begitu mencuba, dan (masih) mencapai semua ini. Jadi ia adalah luar biasa dengan apa yang saya lakukan.”

Tomic seorang pemain yang berbakat telah lama dibelenggu dengan kontroversi, menjadi tajuk utama pada tahun lepas apabila dia memusing raketnya secara terbalik untuk menghadapi mata penamat menentang Fabio Fognini di Madrid.

Pernah dikatakan sebagai bintang yang sedang meningkat naik dalam sukan itu, dia merosot ke ranking 73 dari kedudukan 17 dan menambah: “Saya hanya akan meneruskannya sebagai satu tugas.”

Adanya berlainan pendapat mengenai Tomic di Australia dan terdapat kritikan dan sokongan berikutan pendedahan berterus-terang terbarunya.

Dia memiliki hubungan yang rapuh bersama Tenis Australia, yang mengetepikannya dari pasukan Piala Davis, tetapi ketua prestasi pertubuhan itu, Wally Masur menyuarakan rasa simpatinya. – AFP