Wednesday, October 4, 2023
23 C
Brunei

    -

    Tonga: Ledakan gunung berapi Januari terbesar pernah dicatat

    WELLINGTON, 21 NOV – Letusan gunung berapi dekat Tonga yang terjadi pada Januari lalu adalah yang terbesar pernah direkodkan dengan peralatan moden, dedah pasukan saintis diketuai New Zealand hari ini.

    Gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha’apai meletus di bawah air dengan kekuatan yang setara dengan ratusan bom atom, mencetuskan tsunami 15 meter yang memusnahkan rumah dan membunuh tiga nyawa di kerajaan pulau Pasifik itu.

    Bencana alam itu juga merosakkan kabel komunikasi dasar laut, memutuskan Tonga dari seluruh dunia selama berminggu-minggu dan menghalang usaha membantu mangsa.

    Kajian terperinci daripada institut kebangsaan untuk penyelidikan air dan atmosfera New Zealand menunjukkan letusan itu meletupkan hampir 10km padu bahan – bersamaan dengan 2.6 juta kolam renang bersaiz Olimpik – dan melepaskan serpihan lebih 40km ke dalam mesosfera, aras di atas stratosfera bumi.

    “Ledakan itu mencecah rekod tertinggi, menjadi yang pertama pernah kami lihat menembusi mesosfera,” kata ahli geologi marin Kevin Mackay.

    “Ia seperti letupan senapang patah terus ke langit,” ujarnya.

    “Walaupun letusan ini besar – salah satu yang terbesar sejak Krakatoa – perbezaan di sini ialah ia adalah gunung berapi bawah air dan ia juga sebahagian daripada sebab kami mengalami gelombang tsunami yang begitu besar,” tambah Mackay.

    Pasukannya juga mendapati kawah gunung berapi itu kini 700 meter lebih dalam daripada sebelumnya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    24 mati dalam tempoh 24 jam di India

    NEW DELHI, 3 Oktober - Sekurang-kurangnya 24 pesakit, separuh daripadanya anak damit baru lahir telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lepas di sebuah...