Tonjol kreativiti menerusi pembikinan filem pendek

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar serahan UBD & Progresif Sdn Bhd

Setiap karya seni pastinya memiliki suatu nilai estetika dan kreativiti yang menyimpulkan suatu makna mendalam menghiasi hasil setiap karya seni itu.

Wujudnya sesebuah karya itu mungkin terinspirasi dari peristiwa-peristiwa yang pernah berlaku seperti berkisar daripada sejarah, kisah silam, kebudayaan, perjuangan, dan sebagainya.

Itulah hebatnya karya seni yang sememangnya sangat dicintai dan diagungkan oleh sesiapa sahaja yang bernama insan seni.

Saban tahun, kesungguhan generasi muda tanah air kita dalam menonjolkan bakat-bakat kreatif mereka bukanlah sesuatu yang asing lagi malah semangat mereka semakin membara untuk mengetengahkan hasil sentuhan salah satunya melalui pembikinan filem pendek mereka masing-masing menerusi Festival Filem Pendek PRISM UBD bagi edisi ke-4.

Festival Filem Pendek PRISM UBD

Festival dianjurkan oleh Program Reka Bentuk dan Industri Kreatif (DCI) di bawah Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan jalinan kerjasama dari Progresif Sdn Bhd itu telah bermula dengan tayangan perdana dalam talian, pada 20 November lalu.

Festival Filem Pendek PRISM UBD bagi edisi ke-4 merupakan anjuran Program Reka Bentuk dan Industri Kreatif di bawah FASS, UBD dengan jalinan kerjasama dari Progresif Sdn Bhd.
Awang Halim Ashari juga selaku penerima Best Short Film Award bagi filem pendeknya bertajuk Disconnected bagi masa di bawah 10 minit juga merangkul Best Director Award dan Best Editing Award.
Filem pendek berjudul Kelindahau arahan Awang Iqbal Masmin telah menerima People’s Choice Award.
Filem pendek Crescendo yang diarahkan oleh Syahmi Batrisya.
Filem pendek berjudul Not Toaster hasil sentuhan karya Awang Rahim Sofri telah menerima Best Short Film Award.

Tayangan dalam talian melalui saluran YouTube FASS UBD Official itu menayangkan 10 filem pendek terpilih mahasiswa dan mahasiswi dengan membawa tema Prism of Creativity Amid Pandemic bagi tahun ini.

Dalam pada itu, Progresif Sdn Bhd turut mengiktiraf festival berkenaan sebagai peluang menyokong pencipta kandungan baharu untuk mempromosikan bakat mereka dengan menyediakan platform bagi menarik lebih ramai penonton menyaksikan karya mereka. Susulan tayangan dalam talian berkenaan, 10 filem pendek tersebut telah diterbitkan pada platform Progresif Media dan dapat disaksikan orang ramai hingga penghujung bulan November lalu.

Sepanjang tempoh berkenaan, satu panel hakim telah menilai karya-karya berkenaan bagi menentukan karya terbaik dalam enam kategori iaitu Best Short Film Award, Best Performance Award, Best Director Award, Best Cinematography Award, Best Editing Award dan Best Screenplay Award, di samping People’s Choice Award yang ditentukan dengan undian dari tontonan orang ramai.

Apresiasi pejuang filem pendek

Pada 4 Disember lalu, festival telah melabuhkan tirainya dengan menyaksikan pengumuman para pemenang secara maya di saluran rasmi penganjur. Filem pendek berjudul Not Toaster hasil sentuhan karya Awang Rahim Sofri telah menerima Best Short Film Award iaitu bagi masa lebih 10 minit dan di bawah 20 minit; manakala Awang Halim Ashari juga selaku penerima anugerah yang sama bagi filem pendeknya bertajuk Disconnected bagi masa di bawah 10 minit yang sekali gus merangkul Best Director Award dan Best Editing Award.

Dalam pada itu, Awang Rahim Sofri juga turut memenangi Best Cinematography Award dan Awang Syahmi Batrisya pula selaku penerima Best Actress Award bagi lakonan persembahan dalam filem pendek berjudul Crescendo. Sementara itu, penerima Best Actor Award diperolehi oleh Haji Haziq dalam filem pendek bertajuk About Wabak.

Manakala filem pendek berjudul Kelindahau arahan Awang Iqbal Masmin selaku penerima People’s Choice Award.

Menurut Dayang Mayyer Ling dari Pengajian Bahasa Inggeris di bawah FASS, UBD selaku penganjur bersama festival berkenaan berkongsi semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya bahawa meski pun dalam masa situasi pandemik ini, para kreatif muda ini terus bangkit menonjolkan bakat mereka dengan jayanya dalam penghasilan filem pendek berkualiti tinggi meski pun secara maya.

Tambahnya, pastinya festival ini merupakan tempat pembikinan filem golongan mahasiswa dn mahasiswi mendapat kritikan dan pengiktirafan positif atas kerja keras mereka, dan pendedahan industri yang melangkaui pengajian mereka.

Dengan penerimaan hampir 2,500 tontonan terkumpul tayangan perdana filem pendek adalah begitu jelas sebagai petunjuk yang menjanjikan minat yang semakin meningkat dalam karya pembuat filem tempatan di negara ini dari semasa ke semasa.

Sementara itu, pengerusi juri festival selaku Pengurus Kanan Industri Pembangunan Penyiaran dalam Kuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), Dayang Rosnani binti Haji Mohd Yussof, dan ahli juri lain, amat mengiktiraf kesemua 10 filem pendek pelajar UBD terpilih di mana komen dan maklum balas bernas mereka memberi inspirasi dan menggalakkan kepada para pelajar pembikin filem untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam usaha dan kerjaya masa depan mereka.

Sebagai rakan media festival tahun ini, Progresif Media akan memberi peluang kepada semua filem pendek yang dianugerahkan untuk diterbitkan di platform penstriman Progresif Media sebagai kandungan Langganan Video Atas Permintaan (SVOD), tertakluk kepada persetujuan antara setiap pembikin filem pelajar UBD dan Media Progresif.