Tonjol nilai budaya tradisi tempatan melalui Program SSEAYP

Oleh Nurdiyanah R.

MESKIPUN berlainan agama dan bangsa, namun ikatan silaturahim tetap terjalin erat bagai aur dengan tebing.

Walaupun baharu pernah bersua muka, namun kasih sayang antara insan-insan ini tetap terpancar dengan segala ragam yang begitu indah dalam meniti hari-hari bersama keluarga angkat semasa berlabuhnya Kapal Nippon Maru di Pelabuhan Muara, bermula dari 10 hingga 13 November lalu bagi Program Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) ke-45, yang mana negara ini merupakan negara persinggahan pertama mereka.

Program yang membawa 330 belia termasuk ketua-ketua kontinjen dari 11 buah negara iaitu 10 buah negara anggota ASEAN dan Jepun itu merupakan program pertukaran belia antarabangsa yang dilaksanakan khusus bagi para belia di negara-negara ASEAN dan Jepun. Program tersebut dianjurkan dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Jepun dengan kerjasama negara-negara ASEAN sejak ia bermula pada tahun 1974.

Manakala Negara Brunei Darussalam secara rasminya mengikuti program berkenaan pada tahun 1985 yang mana ia bermatlamat untuk mengukuhkan persefahaman dan kerjasama antarabangsa dalam kalangan belia ASEAN dan Jepun di samping untuk mengenal dan mempelajari kegiatan dalam semua aspek termasuk cara hidup, sosiobudaya, politik dan pembangunan ekonomi sesebuah negara.

Pada tahun ini, program yang telah diadakan selama 52 hari bermula dari 23 Oktober hingga 13 Disember itu bermula dari Jepun dan singgah ke beberapa buah negara ASEAN yang terpilih termasuk Bandar Seri Begawan dan kini mereka sedang meneruskan destinasi mereka ke Manila, Filipina; Bangkok, Thailand; Ho Chi Minh, Vietnam dan akan berakhir di Tokyo, Jepun.

Kegembiraan dan keseronokan jelas tergambar pada wajah rombongan peserta SSEAYP ketika menikmati hidangan tradisi dengan duduk bersila berlapikkan tikar yang mana masih mengekalkan kehidupan masyarakat zaman dahulu.
Salah sebuah inap desa yang dikenali sebagai Lamin Kampung yang terletak di Kampung Penapar Tanjong Maya, Daerah Tutong yang dikunjungi oleh salah sebuah keluarga angkat bersama lapan orang belia SSEAYP.
Salah seorang peserta SSEAYP dari Myanmar, Te’ Wint Ang (hadapan) menjelaskan bahawa destinasi di negara ini khususnya di Daerah Tutong sememangnya menawarkan pelbagai pengalaman yang sukar dilupakan terutama dengan adanya ikatan kekeluargaan yang begitu mesra.
Para peserta SSEAYP diketengahkan dengan adat-adat budaya tradisi masyarakat tempatan seperti mencuci tangan sebelum menikmati jamuan.
Dayang Atikah Rumaizah menjelaskan lawatan di Lamin Kampung sememangnya pakej sesuai bagi memberi pendedahan kepada anak-anak angkat khususnya dalam menerokai keindahan dan keunikan budaya dan kesenian tradisi masyarakat tempatan.
Antara koleksi hasil kesenian pertukangan kayu yang dipamerkan di kawasan Lamin Kampung yang sememangnya mampu membuka minda rombongan tersebut dengan khazanah warisan tradisi masyarakat tempatan.
Para peserta SSEAYP juga tidak ketinggalan untuk memperagakan pakaian baju kurung dan cara melayu yang menjadi pakaian tradisi masyarakat Melayu di negara ini.
Te’ Wint Ang dari Myanmar semasa mengikuti aktiviti membuat pertukangan kayu candas.
Mariko Hasegawa berkata meskipun kali pertama menjejakkan kaki di negara ini, namun sambutan daripada keluarga angkat begitu meriah yang mana mereka banyak memberi pengetahuan baharu yang begitu indah untuk diterokai dan amat berbeza dengan suasana di negara beliau.
Rombongan salah sebuah keluarga angkat di bawah pimpinan Dayang Atikah Rumaizah berserta anak-anak angkat ketika bergambar ramai semasa mengadakan lawatan di Lamin Kampung, baru-baru ini.
Antara hidangan masyarakat tempatan seperti ambuyat, dadah tahai, udang masak rebus dan sebagainya yang disediakan oleh Lamin Kampung kepada para rombongan keluarga angkat bersama lapan peserta SSEAYP.

Menikmati suasana keaslian kampung

Sehubungan dengan itu, wartawan Minda kali ini telah berkesempatan untuk mengikuti perjalanan lawatan salah sebuah keluarga angkat bersama lapan orang belia SSEAYP ke salah sebuah inap desa yang dikenali sebagai Lamin Kampung yang terletak di Kampung Penapar Tanjong Maya, Daerah Tutong, baru-baru ini.

Semasa ditemui, salah seorang peserta dalam program keluarga angkat bagi peserta SSEAYP, Dayang Atikah Rumaizah binti Dr Haji Harun mengemukakan perasan bersyukur kerana berpeluang untuk menjadi salah sebuah keluarga angkat pada tahun ini.

“Dengan adanya lawatan di inap desa ini, ia sememangnya pakej yang sangat bersesuaian bagi memberi pendedahan kepada anak-anak angkat saya dalam menerokai keindahan dan keunikan budaya dan kesenian tradisi masyarakat tempatan khususnya di Daerah Tutong seperti cara melayan tetamu dan menikmati hidangan tradisional seperti ambuyat dengan cacah binjai dan tempoyak, udang rebus, umai umbut rotan, dadah tahai dan sebagainya.”

“Di samping itu, mereka juga berpeluang untuk menyaksikan suasana rumah yang berkonsepkan ala kampung yang sebenar dan mengikuti aktiviti memancing ikan dan udang galah di sungai serta berkesempatan mengikuti kesenian pertukangan kayu seperti pembuatan candas,” tambahnya yang kini berusia 39 tahun dengan nada penuh kegembiraan.

Ujar beliau lagi, dengan adanya pendedahan sebegini, ia secara tidak langsung dapat membuka minda dan memperluaskan pengalaman anak-anak angkat beliau yang bukan sahaja terdiri dari negara luar seperti Malaysia, Myanmar, Jepun, Laos dan Filipina, bahkan juga beberapa belia di negara ini untuk sama-sama merasai kehidupan suasana keaslian kampung yang sememangnya sangat sukar untuk dijumpai pada era kemodenan ini.

Indahnya nilai-nilai tradisi

Sepanjang mengikuti lawatan bagi mengimbau keseronokan kenangan lama itu, keterujaan jelas tergambar pada wajah salah seorang peserta SSEAYP yang berasal dari Malaysia, Normien Sasabella Md Radzi yang menjelaskan bahawa dengan mengikuti program SSEAYP ini, ia dapat memberikan satu kenangan yang sangat berharga dalam kehidupannya kerana segala pendedahan antaranya dalam aspek usaha untuk memperta-hankan khazanah warisan tradisi seperti rumah ala kampung dapat diaplikasikan dengan suasana di negaranya.

“Alangkah indahnya jika sesebuah pembangunan itu jika masih mengimbangi nilai-nilai tradisi yang sememangnya menjadi ristaan generasi di masa akan datang,” tegasnya dengan nada penuh keyakinan.

Semangat kekeluargaan

Manakala salah seorang peserta SSEAYP dari Myanmar, Te’ Wint Ang turut mengungkapkan rasa gembira terutama dalam merujuk destinasi di negara ini khususnya di Daerah Tutong yang sememangnya merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan dengan adanya ikatan kekeluargaan yang begitu mesra, di samping keseronokan dalam mengikuti perkongsian keunikan adat budaya bersama-sama rakan-rakan yang lain.

“Salah satu pengalaman menarik itu ialah apabila saya berpeluang untuk mempelajari praktikal membuat candas secara manual,” tambah beliau lagi yang kini berusia 21 tahun.

Sementara itu, salah seorang peserta yang berasal dari Jepun yang kini berusia 28 tahun, Mariko Hasegawa mengongsikan pengalamannya bahawa meskipun kali pertama menjejakkan kaki ke negara ini, namun menurutnya, sambutan daripada keluarga angkat begitu meriah yang mana mereka banyak memberi pengetahuan baharu yang begitu indah untuk dite-rokai meliputi semua aspek dalam kehidupan berbudaya, bermasyarakat dan juga keindahan seni warisan tradisi yang dilihat memiliki keunikan yang tersen-diri dan berbeza dengan suasana di negara beliau.

Manakala menurut salah seorang beliawanis tempatan yang mengikuti lawatan bersama rombongan bersama peserta SSEAYP dan keluarga angkat berkenaan, Dayang Siti Nurkamaliah binti Abdul Rahman semasa mengakhiri sesi temu bual, mengemukakan pandangannya bahawa dengan adanya pengalaman tersebut, ia sememangnya mampu untuk mendidik diri beliau bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain untuk memperluaskan lagi pengetahuan dari segi mempelajari budaya, bahasa serta bertukar-tukar pandangan dan pemikiran yang sememangnya bermanfaat bagi meningkatkan prestasi diri sebagai golongan penerus bangsa di negara ini.

Begitulah indahnya ikatan persahabatan dan kekeluargaan yang terjalin antara peserta SSEAYP ke-45 dengan salah sebuah keluarga angkat mereka, yang mana ia memainkan peranan yang sangat penting dalam membangunkan asas yang kukuh bagi perhubungan dan rangkaian antara belia-belia Jepun dan Asia Tenggara serta meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai kehidupan serta kebudayaan masing-masing.