Tonjol peranan pengajian Islam

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Enam orang pegawai dan tenaga akademik Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menghadiri Persidangan Antarabangsa Pengajian Islam ke-4 anjuran Kolej Pengajian Islam, Universiti Prince Songkla, Kampus Pattani, Thailand yang berlangsung selama tiga hari hingga kelmarin.

Delegasi UNISSA berkenaan telah diketuai oleh Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh UNISSA, di sini, hari ini.

Dihadiri oleh perwakilan antarabangsa daripada lebih 41 buah negara Islam di seluruh dunia, persidangan berkenaan berobjektif untuk menonjolkan peranan pengajian Islam terhadap hak-hak kemanusiaan dan memelihara keamanan sejagat itu telah dihadiri oleh perwakilan antarabangsa daripada lebih 41 buah negara Islam di seluruh dunia.

Selain itu, ia juga dijadikan sebagai platform untuk menyediakan mekanisme kurikulum yang relevan dan konsisten dalam berinteraksi dengan sistem pendidikan Islam yang dapat memenuhi keperluan generasi muda dan aspirasi mereka terhadap masa depan.

Sebanyak lapan ucaptama dan 44 kertas kerja telah dibentangkan yang berkaitan dengan tema persidangan  iaitu  ‘Pengajian Islam: Pemangkin Keharmonian Kewujudan Bersama dan Pembangunan’.

Delegasi yang diketuai oleh Dr. Haji Norarfan ketika menghadiri sidang itu.
Delegasi yang diketuai oleh Dr. Haji Norarfan ketika menghadiri sidang itu.

Antara pembentang ucaptama dalam persidangan berkenaan ialah Menteri di Pejabat Presiden dan Penasihat Diplomatik Presiden Republik Guinea, Profesor Dato Dr Koutoub Moustapha Sano, Mufti Jordan, Profesor Dr. Mohammad Ahmad Musallam al-Khalaileh dan Mantan Raes Universiti Al-Azhar, Profesor Dr. Ibrahim Solah al-Hudhud.

Delegasi UNISSA turut membentangkan kertas kerja mereka di samping menghadiri mesyuarat antara ketua-ketua delegasi.

Menurut kenyataan itu, semasa berada di Pattani, delegasi UNISSA juga berkesempatan mengadakan perbincangan dengan beberapa buah institusi tempatan dan luar negara yang menjurus kepada kerjasama dalam aktiviti akademik, penyelidikan, pertukaran pelajar dan sebagainya.