Tonjol sisi sihat seni parkour

Oleh Nurdiyanah R.

Gambar oleh Muiz Matdani

Setiap pergerakan diatur penuh strategi dan teknik, berhati-hati dan paling utama, keberanian diri dan jiwa yang jitu untuk melakukannya kerana jika tersilap langkah ketika beraksi, pasti cedera menanti!

Itulah seni pergerakan badan penuh aksi atau lebih dikenali sebagai Parkour yang semakin mendapat sambutan di negara ini terutamanya dalam kalangan golongan muda. Hakikatnya bukan mudah untuk seseorang menguasai teknik Parkour kerana faktor kecergasan fizikal dan kesediaan mental merupakan perkara yang perlu dititikberatkan dalam diri seseorang secara menyeluruh.

Semakin pantas beraksi, semakin terserlah

Latihan Parkour merangkumi larian, memanjat, melompat, bergayut, berguling, merangkak dan lain-lain yang dirasakan perlu mengikut keadaan di mana penggiat kebiasaannya mempunyai satu sasaran utama iaitu bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain tanpa menggunakan alat bantuan dengan cara paling pantas dan cekap mengikut kemampuan seseorang.

Bukan setakat itu, seni Parkour juga memerlukan penggiat bergerak pantas ketika beraksi kerana semakin pantas pergerakannya, semakin menonjol kebolehan individu itu menguasai seni pergerakan berkenaan.

Begitulah hebatnya seni ini yang berdasarkan sejarah, dipercayai mula ditubuhkan di negara Perancis oleh Raymond Belle dan dikembangkan oleh anaknya, David Belle pada sekitar 1980an. Aksi-aksi berkenaan sememangnya bermatlamat untuk membina badan dan menyemai minda seseorang agar sentiasa cekap, pantas menghadapi pelbagai halangan dan rintangan semasa kecemasan serta sebagai salah satu bentuk hiburan atau hobi semata-mata.

Pergerakan yang asalnya dilihat mempunyai elemen seni mempertahankan diri ini mula berkembang di Eropah pada 1990an apabila aksi itu menjadi tontonan yang menarik perhatian umum dalam platform media massa.

ATAS & BAWAH : Dalam proses pembelajaran seni Parkour ini secara umumnya, teknik asas seperti merangkak, melompat, memanjat dan mendarat dengan selamat dari satu tempat ke satu tempat yang lain perlu dikuasai terlebih dahulu oleh seseorang sebelum menguasai teknik mengubah posisi tubuh badan seperti membalikkan dan memusingkan.

Salah satu langkah untuk menggelakkan sekali gus menggurangkan sebarang bahaya dan kecederaan berlaku ialah dengan melakukan sesi pemanasan terlebih dahulu sebelum melakukan aksi-aksi ekstrem.

Seni Parkour cetus gaya hidup sihat

Penulis dan rakan wartawan Media Permata baru-baru ini berkesempatan menyaksikan penggiat seni Parkour di negara ini menjalankan latihan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, yang tetap bersemangat mengalunkan gerakan akrobatik tidak kira pada dinding atau tembok, tangga, palang besi, mahu pun ranting pada pokok berdahan besar.

“Inilah seni yang dapat mengekspresikan keindahan gerak-geri tubuh badan dengan rentak penuh kebebasan menerusi curahan daripada minda, jiwa dan hati seseorang pencinta dunia seni Parkour ini bersama rakan-rakan yang memiliki minat yang serupa. Kebersamaan itu sememangnya mampu mencetuskan perpaduan untuk sentiasa bergerak aktif ke arah gaya hidup sihat, lebih-lebih lagi dalam mengisi masa lapang.

“Seni ini menyatukan persahabatan kami sehingga kini. Rasa kepuasan dalam diri setelah berjaya mencabar diri sendiri lebih-lebih lagi dengan menempuh pelbagai rintangan dan halangan yang berada di hadapan mata secara spontan, itulah kemanisan yang kami dapat nikmati bersama,” ujar Awang Safwan bin Haji Mohamad, salah seorang ahli kumpulan Brunei Parkour ketika ditemui penulis.

Kerana minat menyatukan kami

Mengimbas kembali detik tertubuhnya kumpulan yang aktif mengetengahkan aksi-aksi ekstrem di tanah air ini, Awang Safwan menyatakan bahawa pada asalnya dua orang belia tempatan yang mana salah seorang daripada mereka memperolehi kemahiran seni Parkour itu semasa berada di United Kingdom dan akhirnya kesenian itu dikongsi bersama rakan-rakan terdekat serta orang awam yang memiliki minat yang serupa secara terbuka.

“Tertubuhnya kumpulan ini sejak tahun 2008 sememangnya suatu yang tidak dirancang di mana pada umumnya perkongsian dan pembelajaran seni Parkour ini hanya dikongsi secara tidak formal ketika bersantai dengan mengadakan pertemuan dan sehingga kini kami memiliki seramai lebih 20 ahli secara keseluruhannya,” tambahnya lagi yang dari semasa ke semasa semakin giat mengadakan beberapa acara dan juga mengikuti persembahan di negara ini bersama ahli-ahli kumpulannya.

Selain itu, kumpulan ini juga semakin giat menganjurkan bengkel-bengkel termasuklah latihan asas yang kebiasaannya dibukakan kepada para pelajar dan golongan muda yang berminat dalam menerokai kesenian istimewa ini. Penerimaan masyarakat di negara ini dilihat semakin positif sehingga kini lebih 40 orang peserta yang berdaftar dan pernah mengikuti latihan kesenian ini secara keseluruhannya bersama mereka.

Perlu fokus, berani dan berjiwa positif

Dalam proses pembelajaran seni Parkour ini secara umumnya, Awang Safwan menjelaskan teknik asas seperti merangkak, melompat, memanjat dan mendarat dengan selamat perlu dikuasai terlebih dahulu oleh seseorang dan barulah boleh menguasai teknik mengubah posisi tubuh badan seperti membalikkan dan memusingkan.

“Fokus, berani dan berjiwa positif, itulah sikap yang perlu disemai dalam diri dan jiwa seseorang pemain jika ingin melakukan aksi-aksi tertentu. Namun apa yang pasti, langkah-langkah keselamatan turut dititikberatkan untuk kebaikan bersama.

“Salah satu langkah untuk menggelakkan sekali gus mengurangkan sebarang bahaya dan kecederaan berlaku ialah dengan melakukan sesi pemanasan terlebih dahulu sebelum melakukan aksi-aksi ekstrem,” tegas beliau yang kini berusia 27 tahun.

Saiz bukanlah penghalang

Dalam pada itu, insan yang begitu aktif mengikuti pelbagai kesenian aksi ini turut menegaskan bahawa saiz bukanlah penghalang untuk melakukan kesenian ini. Hal ini kerana masing-masing memiliki keunikan dan keistimewaan aksi pergerakan yang ditampilkan.

“Dari situlah keindahan seni pergerakan yang dihasilkan oleh setiap peserta bergabung dengan penuh kemeriahan dapat dirasai sehingga mencetuskan keindahan seni yang bagaikan warna-warni dalam jiwa para peserta bahkan juga pada mata penonton,” ujarnya dengan penuh kegembiraan.

Tampil menggilap bakat demi negara

Sehubungan dengan itu, Awang Safwan turut berharap dengan adanya penubuhan kumpulan berkenaan yang sememangnya dilihat begitu bergerak positif dari semasa ke semasa ini, lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan daripada Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan juga Persatuan Rekreasi Pengembaraan Brunei (BARA) serta institusi pengajian tinggi (IPT) kerajaan dan swasta di negara ini ia dapat membuka minda semua pihak lebih-lebih lagi para penggemar seni aksi untuk tampil menggilap bakat yang bukan hanya sebagai aktiviti rekreasi semata-mata bahkan sebagai atlet yang mampu membawa nama negara di mata dunia suatu hari nanti.

“Semestinya seni aksi ekstrem ini begitu unik dan indah jika kita benar-benar menyelami maka adalah menjadi harapan kami untuk melihat kesenian ini semakin dikenali dalam kalangan masyarakat secara positif bukan hanya dari segi kuantiti penglibatan peserta bahkan juga kualiti seni yang ditampilkan dengan daya pergerakan yang mampu memukau insan-insan yang menyaksikannya,” tambahnya penuh ketulusan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama Media Permata, baru-baru ini.