Top Glove tangguh pengeluaran sarung tangan

KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 25 NOV – Top Glove Corp, pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia, berkata semalam ia menjangka penangguhan dua hingga empat minggu dalam penghantaran selepas lebih 2,000 pekerja di kilangnya di Malaysia dijangkiti koronavirus, justeru menambah kemungkinan tercetusnya gangguan dalam bekalan semasa pandemik.

Top Glove berkata ia telah menghentikan pengeluaran buat sementara waktu di 16 kilangnya di Klang, sebuah bandar di luar Kuala Lumpur sejak 17 November untuk menyaring pekerja, dengan 12 kilang lain di kawasan itu beroperasi pada kapasiti berkurangan.

Kerajaan pada Isnin mengarahkan 28 kilang Top Glove di Klang ditutup secara berperingkat untuk membenarkan pekerja menjalani penyaringan dan kuarantin mandatori selepas 2,453 pekerja kilang diuji positif dijangkiti COVID-19.

Kementerian kesihatan melaporkan 1,511 kes tambahan di kawasan itu semalam, tetapi tidak berkata jumlah pekerja kilang yang terjejas. Kluster itu menyumbang kepada 2,188 kes harian di seluruh negara, membawa jumlah kes keseluruhan Malaysia kepada 58,847. Kluster di kawasan Klang buat masa sekarang adalah yang paling aktif dalam negara dengan 4,036 kes.

Top Glove menghasilkan kira-kira 90 juta sarung tangan getah setahun, kira-kira satu perempat daripada bekalan dunia, dan mengeksport ke 195 negara. Ia telah melihat keuntungan meningkat di tengah permintaan meningkat terhadap produknya disebabkan pandemik. – AP

Gambar fail menunjukkan seorang pekerja memeriksa sarung tangan buang pakai di kilang Top Glove di Shah Alam di pinggir bandar Kuala Lumpur, Malaysia. – AP