Top Glove tawar 9,000 pekerjaan

KUALA LUMPUR, 22 JAN – Top Glove Corporation Bhd menawarkan sebanyak 9,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan sepanjang 2021 bagi membantu menangani pengangguran di negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat tersebut berharap dapat mencapai sasaran tersebut menerusi kempen pengambilan pekerja selama setahun yang dimulakan dengan Pameran Kerjaya Top Glove Secara Maya, esok (23 Januari).

“Program itu bertujuan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang baharu tamat pengajian universiti, institusi vokasional selain pekerja am di Malaysia.

“Ini membabitkan masing-masing sebanyak 4,000 jawatan untuk pekerja tempatan; 2,300 jawatan untuk lulusan baharu universiti dan vokasional teknologi; 2,000 pelatih latihan industri dan pelatih serta 700 pekerja yang berpengalaman,” katanya. – Bernama