Torino, Parma terikat seri

MILAN, 21 JUN – Pemain Torino, Andrea Belotti terlepas sepakan penalti ketika Serie A kembali bersambung awal pagi tadi selepas tiga bulan ditangguhkan akibat pandemik COVID-19.

Kegagalan Belotti itu menyaksikan pasukannya hanya mencatat keputusan seri 1-1 di gelanggang sendiri ketika berdepan Parma.

Jaringan penyamaan Juraj Kucka pada minit ke-31 membolehkan Parma untuk membawa pulang satu mata selepas Nicolas Nkoulou meletakkan tuan rumah di depan selepas 15 minit perlawanan bermula di Stadium Olimpico Turin.

Bagaimanapun, saingan pertama liga Itali itu selepas 103 hari ditangguhkan sedikit terjejas dengan insiden bola bocor lima saat selepas perlawanan bermula. Pertahanan Cameroon, Nkoulou menanduk masuk gol pembukaan sebelum Parma menyamakan kedudukan selepas Kucka menerima hantaran Gervinho.

Parma harus berterima kasih kepada penjaga gol, Luigi Sepe, selepas menyelamatkan percubaan jarak dekat Simone Zaza dan menggagalkan sepakan pe-nalti Belotti tiga minit sebelum rehat.

Aksi Belotti (kanan) ketika mengawal bola sambil dihalang oleh pemain Parma, Bruno Alves pada perlawanan mereka di Stadium Olimpik, Turin, Itali, awal pagi kelmarin. – AP

Torino menamatkan badi kekalahan enam kali berturut-turut dan ini adalah mata pertama mereka sejak 12 Januari namun kekal ditangga ke-15, tiga mata di atas zon penyingkiran, manakala Parma kekal di tangga kelapan.

“Prestasi ini memberikan kami isyarat penting, bahawa kami masih berjuang. Kami puas hati dengan prestasi tapi bukannya keputusan. Kami bermain dalam satu pasukan walaupun melalui tempoh sukar.

“Kami berfikiran positif untuk perlawanan seterusnya walaupun laluan masih panjang dan berliku,” kata jurulatih Torino, Moreno Longo.

Sementara itu, Samuel Di Carmine menjadi wira Verona selepas meledak dua gol pada separuh masa pertama untuk menumpaskan Cagliari 2-1. – AFP