Toshiba buat rombakan besar

TOKYO, 8 Nov – Firma kejuruteraan Jepun Toshiba menurunkan taraf ramalan tahunannya hari ini tatkala menarik diri daripada pelaburan asing sebagai sebahagian daripada program penyusunan semula dan menurut laporan, ia akan menyaksikan beribu-ribu pekerja dibuang.

Penurunan taraf berpunca daripada kerugian apabila syarikat itu menarik diri daripada perniagaan gas asli yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan perniagaan kilang nuklear di Britain.

Toshiba akan menjalani usaha pembaharuan besar-besaran untuk memulihkan syarikat itu ekoran pemerolehan firma tenaga nuklear AS Westinghouse, yang mencatat kerugian berjumlah berbilion dolar dan kini diletakkan di bawah perlindungan kemuflisan.

Bagi tahun ini sehingga Mac 2019, firma itu menjangka memperoleh keuntungan bersih berjumlah 920 bilion yen, merosot daripada ramalan sebelumnya sebanyak 1,070 bilion yen.

Prospek keuntungan operasi tahunan kini berjumlah 60 bilion yen, merosot daripada ramalan sebelumnya sebanyak 70 bilion yen, sementara anggaran jualan dikekalkan pada 3,600 bilion yen.

Pengerusi dan CEO Toshiba Nobuaki Kurumatani semasa menghadiri sidang akhbar di Tokyo kelmarin. Toshiba menurunkan taraf ramalan tahunannya hari ini tatkala menarik diri daripada pelaburan asing sebagai sebahagian daripada program penyusunan semula. – AFP

Namun, harga saham firma meningkat hampir 10 peratus dalam perniagaan tengah hari.

Untuk kekal terapung, kumpulan itu menjual perniagaan cip yang menguntungkan dengan harga AS$21 bilion kepada K.K. Pangea, syarikat yang dikawal oleh konsortium pimpinan pelabur AS, Bain Capital.

Firma itu sedang mengambil langkah lanjut untuk pulih semula, dengan media tempatan melaporkan ia merancang membuang kira-kira 7,000 pekerja dalam tempoh lima tahun akan datang.

Penjualan unit memori terus merangsang keuntungan bersih Toshiba, walaupun operasi firma masih tertekan.

Untuk enam bulan sehingga September, keuntungan bersih syarikat mencecah pada 1.08 trilion yen, menterbalikkan kerugian bersih sebanyak 49.8 bilion yen yang dilihat setahun sebelumnya.

Namun keuntungan operasi enam bulan menyusut kepada 6.98 bilion yen, merosot lebih 80 peratus berbanding tahun lalu apabila syarikat mengambil langkah mengurangkan kos seperti pengurangan bonus pekerjanya.

Penjualan separuh tahun pertama mencecah 1.78 trilion yen, merosot 5.1 peratus berbanding setahun lalu.

Firma itu berkata ia merancang mengeluarkan pelan perniagaan baharu lewat hari ini. – AFP