TOKYO, 15 Mei – Konglomerat bermasalah Toshiba hari ini menangguhkan maklumat pendapatannya untuk kali ketiga sejak Januari, namun mengingatkan ia mungkin kehilangan 950 bilion yen dalam tahun fiskal yang baru berakhir, dengan kebimbangan meningkat mengenai ketahanannya.
Penangguhan terbaru berlaku apabila salah sebuah firma paling terkenal di Jepun bergelut dengan salah urus kewangan di unit nuklear AS Westinghouse Electric, yang menerima perlindungan kemuflisan.
Toshiba menangguhkan pendapatan sembilan bulan sebanyak dua kali sebelum ia mengeluarkan keputusan tanpa audit pada bulan lalu.
Amaran hari ini, sebahagiannya dikaitkan dengan masalah di Westinghouse, bagaimanapun adalah lebih baik daripada kerugian bersih yang diramalkan sebelumnya sebanyak 1.01 trilion yen untuk tahun berakhir pada Mac.
“Kami tidak dapat mendedahkan pendapatan kerana mereka masih diaudit,” beritahu presiden Toshiba Satoshi Tsunakawa pada taklimat berita di Tokyo hari ini.

Toshiba, masih berpulih daripada skandal perakaunan 2015, berkata ia memerlukan lebih banyak masa untuk menyiasat dakwaan tentang salah urus kewangan oleh pengurus kanan di Westinghouse dan menilai kesan ke atas kewangannya.
Siasatan bermula selepas seorang pemberi maklumat mengadu seorang atau lebih eksekutif di unit AS memberikan “tekanan tidak wajar” ke atas perakaunannya.
Beberapa siri penangguhan telah mencetuskan kebimbangan bahawa Toshiba mungkin dikeluarkan daripada Bursa Saham Tokyo.
Syarikat itu kini menghadapi tarikh akhir pada akhir Jun untuk memfailkan keputusannya dengan kementerian kewangan Jepun, atau menghadapi penyingkiran dari bursa saham pada akhir Julai.
Namun masih tidak jelas sama ada saham firma akan dikeluarkan dari bursa walaupun jika tarikh tersebut terlepas.
Saham Toshiba, yang telah kerugian lebih 40 peratus daripada nilainya sejak akhir Disember, meningkat 3.43 peratus kepada 261.8 yen hari ini.
“Pasaran tidak rasa bursa sedang mendesak pengeluaran daripada penyenaraian,” beritahu Toshihiko Matsuno, ketua ahli strategi di SMBC Friend Securities, kepada AFP. – AFP