Tottenham ikat Hojbjerg selama lima tahun

LONDON, 12 OGOS – Tottenham telah menandatangani pemain tengah Denmark, Pierre-Emile Hojbjerg dari Southampton dengan yuran perpindahan dilaporkan sebanyak 15 juta pound kelmarin.

Hojbjerg merupakan pembelian pertama Tottenham sejak berakhirnya musim Liga Perdana Inggeris (EPL) dan bersetuju dengan kontrak selama lima tahun bersama kelab utara London.

“Kami sangat gembira untuk mengumumkan pembelian Pierre-Emile Hojbjerg dari Southampton,” menurut kenyataan dari kelab menerusi akaun Twitter.

Pemain berusia 25 tahun tersebut telah dilucutkan jawatan sebagai ketua pasukan Southampton dan digugurkan dari kebanyakan perlawanan The Saints selepas perlawanan EPL disambung semula berikutan kenyataan dari pemain tersebut bahawa dia enggan menandatangani perjanjian baharu.

Everton turut memburu khidmat Hojbjerg, tetapi keinginan untuk bekerja di bawah pengurus Tottenham, Jose Mourinho adalah punca dia menandatangani perjanjian bersama Spurs.

“Apa yang penting bagi saya ialah untuk bermain di sebuah kelab di mana saya melihat diri saya untuk bermain selama beberapa tahun akan datang dan saya percaya Tottenham adalah pilihan yang tepat,” menurut Hojbjerg. – AFP