Tottenham pecat Nuno Espirito

LONDON, 1 NOV – Tottenham mengesahkan pasukan itu memecat pengendalinya, Nuno Espirito Santo dan juga barisan kejurulatihannya selepas prestasi tidak menentu yang dilakar mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Spurs tewas 3-0 di tangan Manchester United, Sabtu lalu – kekalahan kelima mereka dalam 10 perlawanan liga – serta diejek penyokong yang bersorak ‘kamu tidak tahu apa yang kamu lakukan.’

Pengarah Bola Sepak Tottenham, Fabio Paratici dalam satu kenyataan berkata ‘saya tahu betapa Nuno dan barisan kejurulatihannya mahu berjaya dan saya kesal apabila kami terpaksa mengambil keputusan ini.

“Nuno adalah lelaki budiman yang sebenar dan akan sentiasa dialu-alukan di sini. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada beliau dan barisan kejurulatihannya serta mendoakan kejayaan buat mereka pada masa akan datang.” Kenyataan mengenai barisan kejurulatihan yang baharu dijangka diumumkan secepat mungkin.

Nuno yang juga bekas pengurus Wolves itu dilantik sebagai bos baharu Spurs pada Jun lalu bagi menggantikan Jose Mourinho. Dia membawa Wolves beraksi di EPL pada 2018 dari Liga Kejuaraan dan membimbing pasukannya menamatkan dua musim berturut-turut di tangga ketujuh dalam dua musim pertama mereka sebelum meraih kedudukan ke-13 pada musim lalu. – AFP

Reaksi Nuno Espirito Santo semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Tottenham dan Manchester United di stadium Tottenham Hotspur, London pada 30 Oktober. – AP