Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Totti sah gantung but – Monchi

    ROM, 4 Mei – Ikon kelab AS Roma, Francesco Totti (gambar) akan bersara pada penghujung musim ini apabila kontrak pemain berusia 40 tahun itu berakhir, kata Pengarah Sukan baru kelab itu, Monchi.

    “Saya mahu dia berada di sini bersama saya. Dia adalah Roma. Dia boleh mengajar saya mengenai Roma,” kata Monchi ketika mendedahkan peranannya di kelab berkenaan sambil menambah kapten pasukan itu kekal bersama pasukan namun dalam bidang pengurusan.

    “Ada perjanjian. Ini adalah musim terakhirnya namun dia akan meneruskannya dalam bidang pengurusan. Saya mahu Totti menerangkan kepada saya apa itu Roma, untuk membuatkan saya faham apa yang diketahuinya.”

    Monchi dari Sepanyol telah dilantik dengan jawatan berkenaan susulan kejayaannya sebagai Pengarah Sukan bersama kelab La Liga, Sevilla yang memenangi tiga gelaran Liga Europa berturut-turut pada 2014, 2015 dan 2016.

    Totti yang juga penyerang legenda Itali menghabiskan keseluruhan kerjaya profesionalnya di Roma dan menjadi pemain paling popular di kelab itu sejak menyertainya pada 1993.

    Namun hubungannya dengan jurulatih Luciano Spalletti kelihatan tidak begitu baik pada musim lalu.

    Bagaimanapun, akhirnya kelab memberikan Totti kontrak lanjutan selama 12 bulan yang dibalas dengan beberapa gol penting, namun Roma berkata ini akan menjadi musim terakhirnya.

    Ketika ditanya bagaimana perasaannya selepas pertemuan derbi terakhirnya yang berakhir dengan kekalahan kepada Lazio, minggu lalu Totti berkata: “Orang melihatnya sebagai perlawanan derbi terakhir saya, namun saya tidak melihatnya begitu.”

    Ia kelihatannya Totti akan mengucapkan selamat tinggal terakhirnya ketika Roma menjadi hos kepada Genoa dalam perlawanan terakhir liga pada 28 Mei.

    Pemain hebat Roma itu telah bermain sebanyak 616 dalam Serie A dengan menjaringkan 250 gol di liga teratas Itali, berada di kedudukan kedua di belakang Silvio Pioli dengan 274 gol. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda