Touadera calon utama presiden Republik Afrika Tengah

BANGUI, REPUBLIK AFRIKA TNEGAH, 25 DIS – Pengundi di Republik Afrika Tengah akan turun membuang undi pada Ahad, dengan Presiden, Faustin Archange Touadera dilihat akan memenangi panggal kedua di negara yang mengalami kekacauan.

Dalam minggu sebelum hari mengundi, Touadera menuduh pendahulunya, Francois Bozize melakukan rampasan, kumpulan militan telah menawan bandar keempat terbesar di negara itu, dan Rusia serta Rwanda menghantar tentera mereka untuk membantu kerajaan.

Suasana di ibu kota Bangui kelihatan sepi.

Pada Rabu, khabar angin mengatakan pihak pemberontak telah memasuki bandar, mencetuskan keadaan panik.

“Lihatlah penduduk di sini merasa ketakutan,” kata pedagang tempatan, sambil meramal, “Pilihan raya tidak akan berlaku.”

Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu berkata mereka ‘mengambil maklum’ kekacauan yang memuncak ‘didorong oleh rungutan ahli politik dan ucapan berbaur kebencian’ dan memberi amaran mengenai ancaman hak untuk mengundi. Tetapi Touadera, PBB dan Kesatuan Eropah (EU) – termasuk Perancis, bekas penjajah Republik Afrika Tengah dan rakan mereka dari barat – menggesa agar undian dapat dilakukan.

Republik Afrika Tengah kaya dengan sumber semula jadi tetapi disenaraikan sebagai negara kedua termiskin di dunia, menurut Indeks Perkembangan Manusia, di mana negara tersebut berada dalam keadaan tidak stabil sejak kemerdekaan 60 tahun yang lalu.

Perang saudara tercetus pada Mac 2013 apabila kebanyakan pemberontak beragama Islam digelar sebagai Seleka menyerang ibu kota dan menggulingkan Bozize, seorang jeneral beragama Kristian yang merampas kuasa pada satu dekad sebelumnya.- AFP