Tour de France tunda kejohanan akibat COVID-19

PARIS, 15 APRIL – Tour de France bakal menjadi satu lagi acara sukan utama yang terkesan akibat wabak COVID-19, apabila pihak penganjur akan berbincang mengenai tarikh baharu untuk kejohanan berbasikal berprestij dunia itu kelmarin, lapor Xinhua agensi berita.

Keputusan itu susulan Presiden Emmanuel Macron pada Isnin mengumumkan melanjutkan tempoh lockdown di Perancis sekurang-kurangnya sehingga 11 Mei.

Media tempatan L’Equipe melaporkan perlumbaan yang awalnya dijadual bermula di Nice pada 27 Jun dan berakhir di Paris 19 Julai, mungkin akan ditunda ke 29 Ogos sehingga 20 September.

Menteri Sukan Perancis Roxana Maracineanu berkata pada Mac lalu, perlumbaan kemungkinan akan diadakan tanpa kehadiran penonton, tetapi ditolak pihak penganjur. Tahun lalu perlumbaan sejauh lebih 3,000 kilometer itu menarik lebih 10 juta peminat.

Kali terakhir perlumbaan itu tidak diadakan ialah pada 1946. – Bernama

Gambar fail 28 Julai 2019, Egan Bernal (tengah) dari Colombia menyarung jersi kuning selepas menjadi pendahulu keseluruhan, berada di podium bersama Geraint Thomas (kiri) dan Steven Kruijswijk dalam pusingan terakhir perlumbaan Tour de France edisi ke-106. – AFP