Friday, October 11, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tourism Malaysia giat promosi destinasi pelancongan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Jumlah pelancong ke Malaysia, termasuk dari Brunei Darussalam, menunjukkan peningkatan positif pada tahun 2023 berbanding tahun sebelumnya.

    Tourism Malaysia berharap untuk menarik lebih ramai pelancong menerusi aktiviti promosi yang dijalankan bersama rakan kongsi seperti syarikat penerbangan, ejen pelancongan dan media sosial.

    Pengarah Tourism Malaysia Pejabat Brunei Darussalam, Dayang Hazrina binti Azman, berkongsi perkembangan tersebut dalam satu temu bual dengan Media Permata semasa Majlis Jamuan Tengah hari dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Lakas Tah ke Malaysia yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dato’ Raja Reza bin Raja Zaib Shah; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Azhar bin Ahmad serta jemputan khas dari industri pelancongan.

    Semasa majlis tersebut, Dayang Hazrina berharap usaha promosi Tourism Malaysia akan dapat meningkatkan kesedaran mengenai destinasi tarikan yang ditawarkan oleh Malaysia dalam kalangan orang ramai, terutamanya para pelawat dari Brunei Darussalam.

    Tourism Malaysia juga telah mengadakan pembentangan dengan ejen-ejen pelancongan Brunei pada pagi tadi bagi memperkenalkan usaha untuk potensi kolaborasi bagi meningkatkan lagi jumlah pelancong dari Brunei ke Malaysia.

    Pembentangan tersebut turut memberikan penerangan mengenai perancangan Tourism Malaysia bagi tahun ini dan akan datang sekali gus mempersiapkan diri bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2025 dan memperkenalkan lebih banyak tarikan pelancongan yang baharu serta tarikan yang telah dinaikkan taraf kepada pelancong di Brunei, terutamanya kepada pelawat-pelawat muda.

    Dayang Hazrina turut mendedahkan bahawa pihaknya berusaha untuk menggalakkan para pelancong untuk menginap atau berada di Malaysia bagi tempoh yang lebih lama, dan ingin mempromosikan destinasi-destinasi di Semenanjung Malaysia.

    Dayang Hazrina dan TYT Dato’ Raja Reza serta Datuk Azhar bergambar ramai bersama para tetamu pada majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda