Tuesday, April 23, 2024
35.6 C
Brunei

    -

    Tourism Malaysia, MATTA mulakan jerayawara pertama

    KUALA LUMPUR, 31 JAN – Tourism Malaysia dengan kerjasama Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) memulakan jerayawara pertamanya tahun ini di India, dari 30 Januari hingga 7 Februari ini, di lima bandar.

    Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata ia bermula dengan bandar Chennai, diikuti Bengaluru, Hyderabad, Mumbai dan seterusnya Ahmedabad.

    Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Zainuddin Abdul Wahab berkata jerayawara itu bertujuan menyediakan platform bagi komuniti industri untuk memacu sektor pelancongan ke tahap yang lebih tinggi sambil memastikan Malaysia kekal terpahat dalam minda masyarakat di India.

    “Pandemik (Covid-19) sangat mencabar bagi kami, tetapi sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa kita pada April 2022, saya gembira untuk memberitahu anda bahawa kita telah mengalu-alukan kedatangan lebih daripada 7 juta pelancong antarabangsa pada 2022.

    “Justeru, kami optimis untuk mencapai angka yang lebih tinggi pada 2023, dan menyasarkan untuk menerima ketibaan 15.6 juta pelancong antarabangsa, dan membawa masuk hasil kira-kira RM47.6 bilion,” katanya.

    Menurut Tourism Malaysia, India merupakan salah satu sumber pasaran utama untuk Malaysia dan telah menyumbang ketibaan 735,309 pelawat, di samping RM3.6 bilion perbelanjaan pelancongan pada 2019, dan pada masa ini terdapat 169 penerbangan setiap minggu dari India ke Malaysia.

    Sementara itu, Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang berkata MATTA telah berjaya menganjurkan misi jualan ke India sejak 2016, untuk bekerjasama dan mempromosikan Malaysia, berikutan perkembangan sektor pelancongan terkini.

    “Kami percaya bahawa seiring dengan kegigihan ini, disertai dengan mesej promosi yang berkesan, ia akan meningkatkan hubungan promosi silang dan mewujudkan kesedaran yang lebih kukuh mengenai pasaran pelancongan India,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...