Toyota catat keuntungan AS$4.1 bilion

TOKYO, 11 MEI – Keuntungan Toyota merosot 31 peratus dalam suku Januari-Mac berbanding tahun sebelumnya, tetapi pengeluar kereta Jepun itu masih meraih pendapatan rekod tahun lalu.

Toyota Motor Corp hari ini melaporkan keuntungan 533.8 bilion yen dalam suku akhir, merosot daripada 777.1 bilion yen tahun fiskal sebelumnya. Jualan suku meningkat hampir enam peratus kepada 8.1 trilion yen.

Toyota dan pengeluar kereta lain telah bergelut untuk mengekalkan permintaan pelanggan terhadap produk mereka disebabkan kekurangan alat ganti berpunca daripada pandemik koronavirus.

Syarikat itu masih menjual 8.2 juta kenderaan di seluruh dunia semasa tahun fiskal sehingga Mac, meningkat daripada 7.6 juta kenderaan dalam tahun fiskal sebelumnya.

Untuk tahun fiskal, Toyota mencatat keuntungan 2.885 trilion yen, meningkat hampir 27 peratus daripada 2.25 trilion yen tahun sebelumnya.

Toyota, yang mengeluarkan model hibrid Prius, model mewah Lexus dan sedan Camry, berkata keuntungannya mendapat rangsangan daripada kadar tukaran yang tinggi. Yen yang lebih lemah membantu merangsang prestasi pengeksport Jepun apabila pendapatan luar negara ditukar kepada yen.

Untuk tahun fiskal sehingga Mac 2023, Toyota meramalkan keuntungan 2.26 trilion yen, 20 peratus lebih rendah daripada tahun fiskal yang berakhir pada Mac. Ia menjangka kenaikan kos bahan menjejas keuntungannya. – AP

Gambar fail menunjukkan orang ramai berjalan di depan logo Toyota di bilik pameran di Tokyo. – AP