Toyota Cross canggih, inovatif

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Pengedar tunggal Toyota, NBT Sdn Bhd baru-baru ini memperkenalkan model terbaharu, Toyota Cross yang menampilkan ciri-ciri teras Toyota iaitu kualiti, ketahanan dan keboleh-percayaan.

Pengamal media tempatan dibawa memahami dan mendekati model SUV itu secara peribadi dalam pratonton media eksklusif diadakan di sebuah rumah di Kampung Mentiri, menyaksikan sendiri kereta gaya hidup yang dilengkapi spesifikasi serba baharu sebelum dilancarkan secara rasminya oleh Toyota Brunei.

Dengan slogan Reliable, Active and Versatile, Toyota Cross dilengkapi fungsi inovatif dan keselamatan yang menawarkan keyakinan serta keselesaan maksimum dalam semua perjalanan.

Didatangkan dalam enjin petrol 1.8L untuk kelas Tinggi dan Standard, Toyota Cross turut memberikan ketenangan dalam aspek keselamatan kerana memiliki tujuh beg udara Sistem Pengekangan Tambahan (SRS), Monitor Titik Buta, Sistem Makluman Lalu Lintas Rear Cross (RCTA), Tekanan Brek Elektronik, Kawalan Kestabilan Kenderaan dan Hill Start Assist antara lainnya.

Dengan gabungan menarik dan kecanggihan reka bentuk yang aktif, ia membawa tenaga yang dapat disaksikan melalui fender depan dan belakang, gril trapezoid berganda yang memberikan penampilan luas, kuat dan stabil di samping kesan ‘tirai cahaya’ pada Daytime Running Light (DRL) dan lampu LED bagi penampilan unik.

Bahagian dalam pula menonjolkan ruang luas, dengan ruang bagasi tinggi berkapasiti 487 liter selain Power Back Door dengan Activated Kick Sensor.

Cross juga direka melalui platform automotif terkemuka Toyota dikenali sebagai Toyota New Global Architecture (TNGA), yang mampu meningkatkan prestasi pemanduan dan memberikan keselesaan di luar jangkaan, pengendalian mudah dan stabil.

Toyota Cross yang diperkenalkan kepada media tempatan. – Gambar oleh Muiz Matdani