Toyota, Daihatsu dan Suzuki jalin perkongsian

TOKYO, 21 JULAI – Pengeluar kereta Jepun, Toyota sedang menambah dua syarikat yang mengkhusus dalam kereta kecil ‘kei’, Daihatsu dan Suzuki, sebagai rakan kongsi dalam kenderaan komersial yang ditubuhkannya bersama Hino dan Isuzu pada awal tahun ini.

Ketika mengumumkan perjanjian hari ini, Ketua Eksekutif Toyota Motor, Akio Toyoda berkata ia akan mempercepat usaha untuk menjadi lebih ekologi dan mapan disebabkan kereta kei membentuk kira-kira 40 peratus daripada pasaran kereta Jepun.

Kereta kei yang efisien minyak, dikenali berdasarkan saiznya yang kecil dan saiz enjin maksimum 0.66 liter, adalah popular di kalangan petani, penghantaran dan peruncit Saiznya yang kecil merupakan kelebihan untuk mengemudi di jalan raya kecil di Jepun dan memudahkan meletak kereta di ruang yang sempit.

“Kami mahu menyenangkan kehidupan untuk penduduk,” kata Toyoda pada sidang berita dalam talian. “Kereta kei menyumbang kepada kehidupan praktikal untuk rakyat Jepun.”

Di bawah gabungan, Commercial Japan Partnership, yang diumumkan pada Mac, Isuzu Motors dan Hino Motors akan bekerjasama dalam teknologi elektrik, hidrogen dan automatik.

Ketiga-tiga pengeluar kereta itu mengawal 80 peratus daripada pasaran trak Jepun.

Penambahan Daihatsu dan Suzuki memperkukuh perkongsian itu, dan pengeluar mungkin bekerjasama dalam membangunkan model elektrik bersama, menurut syarikat.

Di bawah perjanjian terbaharu, Suzuki dan Daihatsu masing-masing akan memperoleh 10 peratus saham dalam usaha sama Commercial Japan Partnership Technologies Corp. Dengan modal berjumlah 10 juta yen, ia akan dimiliki 60 peratus oleh Toyota, dan 10 peratus masing-masing oleh Isuzu, Hino, Suzuki dan Daihatsu pada akhir Julai. – AP

Gambar fail menunjukkan logo Toyota di Manchester, New Hampshire. Toyota mengumumkan gabungan dengan Daihatsu dan Suzuki kelmarin untuk membangunkan kereta kecil. – AP