Toyota labur AS$3.4 bilion dalam pengeluaran bateri AS

TOKYO, 18 OKT – Pembuat kereta terbesar di dunia, Toyota mendedahkan rancangan hari ini untuk melabur sebanyak AS$3.4 bilion dalam bateri automotif di Amerika Syarikat dan membina sebuah kilang di negara itu untuk pengeluaran mereka.

Pelaburan 10 tahun itu adalah sebahagian daripada projek yang diumumkan bulan lalu oleh firma Jepun untuk membelanjakan 1.5 trilion yen (AS$13.1 bilion) ke atas pembangunan dan pembekalan bateri bagi kenderaan elektrik ketika ia berusaha untuk menghasilkan pengeluarannya neutral karbon.

“Komitmen Toyota untuk elektrifikasi adalah tentang mencapai kemapanan jangka panjang bagi alam sekitar, pekerjaan dan pengguna Amerika,” kata Ted Ogawa, ketua pegawai eksekutif di Toyota Motor Amerika Utara.

Syarikat itu tidak menjelaskan butiran lanjut seperti tapak dan kapasiti pengeluaran namun berkata ia akan menubuhkan sebuah syarikat baharu bagi projek AS.

Toyota merupakan perintis dalam kenderaan hibrid dan auto menggunakan bahan api hidrogen dan juga mempertingkatkan pembangunannya dalam kereta elektrik berkuasa bateri. – AFP