TOKYO, 7 FEB – Syarikat gergasi kereta Jepun Toyota berkata hari ini ia akan melanjutkan penutupan kilang di China sehingga 16 Februari, meneruskan penggantungan selama seminggu di tengah krisis koronavirus.
“Selepas menimbang pelbagai faktor termasuk garis panduan daripada kerajaan tempatan dan serantau, kami memutuskan untuk meneruskan penggantungan pengeluaran kami di semua kilang Toyota di China sehingga 16 Februari,” beritahu jurucakap Aaron Fowles kepada AFP.
Firma Jepun itu berkata sebelumnya bahawa kilang akan digantung sehingga 9 Februari.
Virus tersebut telah meragut lebih daripada 630 nyawa, terutamanya di China, tetapi juga telah merebak ke beberapa negara dan menjejas rantaian bekalan global.
Fowles berkata Toyota akan membuat keputusan lanjut mengenai sama ada melanjutkan penggantungan operasi bergantung pada perkembangan situasi virus. “Mengenai pengeluaran di negara lain, kami sedang menyiasat sama ada timbulnya sebarang kesan,” tambah beliau.
Bos Fiat Chrysler Mike Manley memberitahu Financial Times semalam bahawa firmanya mungkin menghentikan pengeluaran di kilang Eropah disebabkan masalah bekalan dari China – yang merupakan yang pertama untuk pengeluar kereta Eropah.
Hyundai di Korea Selatan juga telah menggantung operasi di kompleks Ulsan, kilang kereta paling produktif di dunia. – AFP




























