TOKYO, 7 Mac – CEO Eropah Toyota memberi amaran firma itu mungkin menamatkan pengeluaran di Britain menjelang 2023 jika negara itu keluar dari Kesatuan Eropah (EU) tanpa perjanjian, lapor akhbar harian niaga Nikkei hari ini.
Bercakap kepada Geneva Motor Show, Johan van Zyl memberitahu para pemberita bahawa “jika persekitaran perniagaan menjadi amat-amat sukar untuk beroperasi, ‘pengunduran ‘ seharusnya dalam agenda juga,” lapor Nikkei.
Dia juga membangkitkan kemungkinan lain yang kurang drastik yang termasuklah pengurangan pengeluaran atau pelaburan, lapor akhbar itu. Jurucakap Toyota mengesahkan ulasan van Zyl itu.
“Dalam soal jawab dengan para pemberita Jepun di sana, dia menjawab satu soalan tentang sama ada pengunduran pada masa akan datang dari perniagaan di UK adalah satu kemungkinan, dengan mengatakan itu adalah ‘satu pilihan’ secara umumnya, jurucakap itu memberitahu AFP.
Dia menambah, “Sudah tentu kami perlu bersaing dan suasana perniagaan yang sihat dan stabil adalah penting.”

Tetapi dia menekankan bahawa kedudukan Toyota berhubung Brexit tidak berubah, iaitu ‘peralihan mendadak’ adalah tidak baik.
“Tetapi kita tidak tahu apa akan berlaku dan tidak ada apa yang diputuskan lagi,” ujarnya.
Tarikh 2023 yang dilaporkan adalah berkaitan kitaran pengeluaran firma.
Britain dijangka meninggalkan EU pada 29 Mac tetapi rundingan berbulan-bulan bagi perjanjian untuk mengawal hubungan selepas Brexit setakat ini telah gagal.
Parlimen Britain dijangka mengundi versi muktamad cadangan perjanjian keluar pada minggu depan.
Tetapi jika ahli parlimen sekali lagi menolaknya, mereka kemudian akan mengundi sama ada keluar EU tanpa perjanjian atau menangguhkan Brexit.
Toyota mempunyai lebih 3,000 pekerja di dua buah kilangnya di Britain termasuk sebuah kilang membuat enjin di Wales.
Bulan lalu Honda mengumumkan ia akan menutup kilang utama di Britain yang meletakkan 3,500 pekerja berisiko dan menjadi firma Jepun terkini mengurangkan operasi ketika Brexit semakin hampir akan berlaku. – AFP

































