KUALA LUMPUR, 6 Mac – Tim Pemantau Antarabangsa-Mindanao (TPA-M14) akan berlepas ke Mindanao, Filipina esok bagi meneruskan tugas pemantauan dan mengawasi proses gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata TPA-M14 yang diketuai Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran akan menggantikan TPA-M13 yang bakal menamatkan tugas pada 14 Mac ini.
“Tahniah kepada semua pegawai serta anggota yang terpilih menyertai TPA-M14 dan jalankan amanah yang diberi sebaik mungkin.
“Kecemerlangan Malaysia dalam mengetuai misi ini menonjolkan kredibiliti kita di mata komuniti antarabangsa,” katanya dalam teks ucapan pada Majlis Perasmian TPA-M14 di Wisma Transit di sini, hari ini.
Teks ucapan Panglima ATM itu dibacakan oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.
Seramai 16 orang pegawai dan anggota iaitu 11 dari ATM, dua daripada Polis Diraja Malaysia manakala tiga kakitangan awam dari Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri menyertai TPA-M14 kali ini.
Sementara itu, Zulkifli berkata aspek keselamatan perlu menjadi keutamaan pegawai dan anggota yang menyertai TPA-14 pada kali ini.
“Situasi di Mindanao sukar diramal, oleh itu, jauhi sebarang perkara yang berisiko atau mendatangkan impak yang tidak diingini,” katanya. – Bernama

































