TPM Malaysia lawat China

BEIJING, 9 JULAI – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang kini dalam  rangka lawatan rasmi empat hari ke China bermula Isnin, hari ini melakukan kunjungan hormat terhadap Naib Presiden Wang Qishan di Zhongnanhai di sini pada hari ini.

Ini adalah lawatan rasmi sulung beliau ke China sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei, ekoran kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lepas.

Selepas itu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengadakan pertemuan dua hala dengan Naib Perdana Menteri Sun Chunlan yang bertanggungjawab bagi Jawatankuasa Kerja Kebangsaan mengenai Kanak-Kanak dan Wanita di bawah Majlis Negara.

Pada mesyuarat tersebut, kedua-duanya telah berbincang mengenai usaha yang berterusan untuk memperkukuhkan hubungan Malaysia-China selain tindakan susulan mengenai keputusan-keputusan yang telah dicapai semasa lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ogos 2018 dan April 2019.

Selain itu turut dibincangkan pada mesyuarat itu ialah mengenai kerjasama dua hala dalam bidang pendidikan, komoditi pertanian, pertanian, pembangunan wanita selain pelancongan dan kebudayaan.

Pada sebelah petang, Dr Wan Azizah dijadual melawat Masjid Dongsi dan bertemu dengan wakil-wakil masyarakat Islam China dan kepimpinan masjid. – Bernama

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (dua, kanan) diiringi Presiden Persatuan Islam China, Sheikh Hasan Yang Faming (dua, kiri) ketika mengadakan lawatan ke Masjid Dongsi, yang juga sebuah masjid bersejarah berusia 660 tahun, yang ditubuhkan sejak zaman Dinasti Yuan (Keturunan Mongol), kelmarin. – Bernama