Juara Dewi Remaja 2022, Tracie Sinidol tidak mahu dirinya dikaitkan dengan pelakon terkenal Mira Filzah selepas memenangi pertandingan realiti itu pada baru-baru ini.
Kata Tracie, 21, dia enggan lagi dibayangi nama aktres itu kerana dikatakan memiliki wajah seiras, sebaliknya mahu berdiri atas bakat sendiri.
“Saya sudah mencipta satu lagi tajuk yang baharu, jadi stop la… cakap saya ini Mira Filzah.
Saya sudah berjaya menutup perkara itu dengan gelaran ini dan sekarang saya mahu berdiri dengan nama sendiri.
“Tidak dinafikan dari gelaran tersebut memberi bonus untuk saya menerima tawaran berlakon dan peluang pekerjaan tapi saya tidak mahu nama saya ini tenggelam. Jadi saya perlu ada identiti saya sendiri supaya orang kenal.

“Bila sebut Tracie, dia pandai berlakon dia pandai hosting. Saya tidak mahu, Tracie siapa? Kembar Mira Filzah. Mereka tidak tahu bakat saya,” katanya kepada wartawan.
Tracie berkata demikian ketika ditemui pada malam Finale Dewi Remaja 2022 yang diadakan di Dewan Sri Putra Bukit Jalil, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Tracie berkata dia sudah bersedia berdepan dengan pelbagai ujian termasuklah kontroversi sebagai seorang anak seni.
Ditanya bidang yang bakal diceburi selepas ini, Tracie memaklumkan bahawa dia bakal mengembangkan bakat dalam dunia lakonan dan pengacaraan.
Kata Tracie, dia berminat untuk membintangi filem aksi dan mahu bergandingan bersama dua aktor hebat iaitu Datuk Adi Putra dan Meerqeen.
Pada malam finale itu, Traice dinobatkan sebagai juara Dewi Remaja 2022 menewaskan empat lagi finalis peringkat akhir iaitu Siti Nur Aishah Bee Md Noor, Kimberly Chuah dan Norr Alysaa Ahmad Azmi. – Agensi