Tradisi anak warisi nama keluarga ibu

BEIJING – Apabila Wang Rong melahirkan anak lelaki keduanya, beliau mengingatkan suaminya tentang satu janji yang dibuatnya walaupun sebelum perkahwinan mereka: iaitu membenarkannya mewarisi nama keluarganya.

“Bapa saya mempunyai dua anak perempuan dan saya tidak mahu jurai keturunan keluarga saya berakhir dengan kami,” beritahu ibu dari Shanghai itu kepada AFP.

“Saya tidak mahu bapa saya berasa hampa kerana tidak mempunyai seorang anak lelaki.”

Memberikan nama keluarga ibu kepada anak semakin popular di bandar China, tidak mengikut atau mengingkari tradisi keluarga yang sudah lama bertapak kukuh di negara itu.

Undang-undang seorang anak di negara itu, yang dikenakan dari 1979 hingga 2016, bermakna anak perempuan juga ditugaskan untuk melindungi kekayaan dan keturunan ibu bapa mereka – yang sebelum ini telah pun dikekalkan oleh waris lelaki.

Yang Yiren, pakar nama Cina di Pusat Penyelidikan Yijing Beijing, memberikan nama kepada anak damit perempuan seorang lelaki di pejabatnya di Beijing. – AFP
Yang Yiren menunjukkan buku-buku mengenai nama keluarga di pejabatnya di Beijing. – AFP
Yang Yiren (kiri), pakar nama Cina, menjelaskan makna nama kepada seorang lelaki di pejabatnya di Beijing. – AFP

Ia mengakibatkan peralihan dalam beberapa sikap keluarga namun perubahan peraturan yang membenarkan pasangan mempunyai dua orang anak yang telah mencetuskan trend untuk anak-anak diberikan nama keluarga sebelah ibu.

Sekarang, sesetengah ibu bapa memberikan nama keluarga bapa kepada anak sulung dan nama keluarga ibu kepada anak kedua.

Tidak banyak statistik yang wujud mengenai isu tersebut, namun seorang dalam 10 anak damit yang dilahirkan di Shanghai pada 2018 mempunyai nama keluarga ibu mereka, menurut pejabat pengurusan penduduk bandar.

Yang lainnya memberikan anak mereka nama dua laras menggunakan satu dari setiap ibu bapa.

Menurut satu kajian pada 2019 mengenai nama China oleh syarikat gergasi internet Tencent, lebih daripada 1.1 juta penduduk di China mempunyai nama akhir bergabung, peningkatan sebanyak sepuluh kali ganda berbanding 1990.

“China diperintah di bawah undang-undang satu anak apabila anak lelaki pertama kami dilahirkan, dan suami saya bertekad untuk mengikut tradisi dan memberikan namanya,” kata Wang, seorang ejen insurans.

“Namun saya melihat peluang saya apabila anak kedua dibenarkan pada tahun 2016.”

Anak lelakinya yang berusia lapan tahun, He Wenshi, mempunyai nama keluarga bapanya, sementara adiknya Wang Yunshi mempunyai nama keluarganya.

Situasi tersebut telah menjadi amat lazim sehingga beberapa rakan kelas anak lelaki sulungnya mempunyai nama keluarga ibu mereka.

“Anak saya fikir adalah normal untuk adiknya yang berusia dua tahun mempunyai nama keluarga yang berlainan. Dia tidak bertanya kenapa,” kata Wang.

Satu perdebatan dalam talian yang sengit mengenai sama ada seorang anak harus menerima nama keluarga bapa mereka secara automatik membelenggu internet China pada Mac apabila seorang wanita menceraikan suaminya disebabkan beliau enggan memberikan anak mereka nama keluarganya.

“Walaupun dia merupakan seorang suami yang baik, dia masih mempunyai semua keistimewaan dalam perkahwinan…termasuk memberikan anak lelaki kami nama keluarganya,” kata wanita itu dalam blognya.

Blognya dikongsi lebih 47,000 kali sebelum ia dikeluarkan oleh penapis di Weibo.

Hashtag ‘#mewarisi nama keluarga ibu’ telah ditonton lebih tiga juta kali.

Di China, wanita secara tradisinya mengekalkan nama keluarga mereka semasa berkahwin dan undang-undang membenarkan anak-anak diberikan nama mengikut ibu atau bapa, namun majoriti anak damit menerima nama keluarga bapa mereka.

Amalan baharu itu menandakan peralihan ‘hubungan kuasa’ di antara suami dan isteri di China, kata Liu Ye, seorang penyelidik yang mempelajari politik jantina China di King’s College London.

Wanita yang menurunkan nama keluarga mereka sama ada mempunyai gaji lebih tinggi daripada suami mereka atau datang dari keluarga dengan lebih kekayaan atau rangkaian sosial berpengaruh, kata beliau.

Selalunya, disebabkan dasar seorang anak, mereka telah dilayan ‘seperti seorang anak lelaki’ dan bersifat lebih pendesak disebabkan mereka telah menikmati akses yang saksama dalam pendidikan dan peluang pekerjaan.

Ini mengulang tradisi wang wujud di China kira-kira 2,500 tahun lalu semasa dinasti Zhou apabila ibu-ibu dari puak berpengaruh menamakan anak mengikut nama keluarga mereka, kata Zhang Yiren, seorang pakar penamaan tradisional di Beijing.

Sama ada seorang anak mewarisi nama bapa atau ibu mempunyai kesan yang serius untuk wanita China, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, di mana lelaki rata-rata mewarisi kekayaan keluarga disebabkan mereka dianggap sebagai waris yang mengekalkan nama.

Satu tinjauan pada 2019 oleh Persekutuan Wanita Seluruh China mendapati lebih daripada 80 peratus wanita di kampung tidak mempunyai nama mereka dalam dokumen pendaftaran tanah ladang keluarga, justeru menafikan hak mereka untuk memiliki tanah berkenaan.

Keutamaan atau pilihan sosial ter-hadap anak lelaki yang wujud berkurun-kurun lamanya, disebabkan kepercayaan mereka meneruskan salasilah keluarga, juga telah mendorong kepada pengguguran jantina terpilih yang membawa kepada ketidakseimbangan jantina negara iaitu hanya 88 budak perempuan untuk setiap 100 budak lelaki pada tahun 2018, menurut Laporan Jurang Jantina Global Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Pada tahun 2014, sebuah daerah di tengah wilayah Anhui memberikan wang tunai 1,000 yuan kepada setiap keluarga yang memberikan nama keluarga ibu kepada anak damit yang baru lahir selepas bancian negara mendapati ia mempunyai salah satu nisbah jantina paling teruk di China, dengan 100 anak damit perempuan dilahirkan untuk setiap 172 anak damit lelaki.

Empat tahun selepas uji kaji ini, ia mencatat peningkatan dengan 100 anak damit perempuan untuk setiap 114 anak damit lelaki, apabila keluarga melihat budak perempuan juga boleh meneruskan jurai keturunan keluarga.

Namun meskipun terdapatnya peningkatan dalam pendapatan dan pendidikan, ramai kaum wanita China masih rasa dibelenggu oleh tradisi apabila memberikan nama anak mereka.

Sering kali, jika anak sulung sepasang suami isteri ialah lelaki, dia akan menerima nama keluarga bapanya, sementara ibu adalah bebas untuk memberikan nama keluarganya kepada anak kedua mereka.

Namun sekiranya anak pertama ialah seorang perempuan dan kedua ialah lelaki, maka akan timbulnya pergelutan mengenai siapa yang akan memberikan nama kepada anak lelaki, jelas penyelidik Liu, menambah sekiranya hanya terdapat seorang anak – ia merupakan satu cabaran amat besar untuk menurunkan nama keluarga ibu.

“Terdapat peraturan yang tidak dinyatakan dalam permainan ini,” jelas penulis Shen Liu, yang mahu memberikan nama keluarganya kepada anak tunggal lelakinya tetapi tidak berkuasa selepas menerima tekanan dari mertuanya.

Beliau menambah: “Ini bukan kesamaan jantina sebenar. Ia hanya satu lagi sistem kuasa bapa, walaupun lebih bersifat tidak ketara. Hanya kali ini, ia berbaur feminisme.” – AFP