Tradisi biola Cremona tak luput ditelan zaman

CREMONA, ITALI – Bekerja dalam bayangan guru mahir, pembuat biola Cremona di Itali sedang mempertahankan pasaran yang semakin mengecut dan persaingan asing di kala mereka berusaha mencari kesempurnaan, satu biola pada satu masa.

Tempat kelahiran Stradivarius, Cremona ialah sebuah makmal yang betul-betul untuk alat muzik tali dari seluruh dunia, di mana bengkel biola kelihatan di merata tempat.

Studio Stefano Conia – hanya satu daripada 160 di bandar utara Itali dengan 70,000 penduduk – belum berubah berdekad-dekad lamanya.

Ia terletak di belakang perkarangan yang dipenuhi bunga, dan penduduk asli Hungary ini, salah seorang pembuat biola lama di Cremona, mengunjungi tempat itu setiap hari, meskipun sudah bersara 10 tahun lalu.

“Jika saya berhenti membuat biola, kehidupan bagi saya akan berakhir. Setiap hari saya berada di sini di bengkel. Ia merupakan penawar kepada usia tua,” kata Conia, 74, di mana bapanya mahir membuat biola dan anak lelakinya juga meneruskan tradisi keluarga itu.

Pembuat alat muzik bertali Benedicte Friedman mengusahakan biola di bengkelnya di Cremona. – AFP
Stefano Conia Jr mengukir skrol biola di bengkel bapanya di Cremona. – AFP

Meja kerja Conia menghadap anak lelakinya. Kedua-duanya dipenuhi fail, pengapit, kompas, berus dan gergaji kecil. Papan kayu diletakkan di atas lantai.

“Menceburi bidang pembuatan biola merupakan satu pilihan semula jadi,” kata anak lelaki Conia, Stefano, dikenali sebagai ‘orang muda’, yang mula mengendali peralatan pada usia tujuh atau lapan tahun. Beliau menghabiskan zaman kanak-kanaknya di bengkel yang dibuka oleh bapanya pada 1972, dua bulan sebelum beliau dilahirkan.

“Saya akan bermain dengan kayu dan pemuzik akan datang dan membeli biola mereka dan menggeseknya,” kata anak lelaki Conia. “Ia merupakan suasana yang istimewa, dan saya amat menyukainya.”

Untuk Conia, biola yang dibuat daripada pokok mapel atau fir adalah lebih daripada alat – mereka menjadi keluarga.

“Alat berkenaan adalah seperti kanak-kanak. Mereka hidup disebabkan tenaga yang kami berikan kepada mereka, ia membentuk sebahagian daripada kami yang akan terus hidup selepas kematian kami,” kata Stefano Conia.

Seperti Conia, kebanyakan pembuat alat muzik tali di Cremona adalah warga asing. Ramai datang untuk belajar di Sekolah Antarabangsa pembuatan Biola dan terus menetap di bandar itu.

“Sekolah itu ditubuhkan pada 1938, guru pertama adalah warga asing dan pelajar datang dari seluruh dunia. Sesungguhnya kami, pembuat biola Cremona, adalah amat sedikit bilangannya,” kata Marco Nolli, 55 tahun.

Daripada satu pertiga pembuat biola Cremona, hanya 10 peratus datang dari Cremona, kata beliau.

Benedicte Friedman, 45, dari Perancis, telah menetap di ‘tempat bermulanya pembuatan biola’ selama 20 tahun.

“Datang ke Cremona adalah – dan mungkin agak angkuh untuk mengatakannya – seperti berjalan dalam jejak langkah guru-guru yang hebat, Stradivarius, Guarneri, Amati,” kata beliau, merujuk kepada tukang biola paling disegani di bandar itu beberapa abad lalu.

“Menjadi pembuat alat muzik bertali bermakna berupaya mendedikasikan diri anda 100 peratus kepada pembuatan alat tersebut. Dan semakin banyak anda hasilkan, semakin mahir anda,” kata Friedman.

Di Perancis, jelasnya, demi mencari rezeki sebagai pembuat biola, ramai orang melakukan kerja membaiki, menjual aksesori, yang menyebabkan mereka tidak mempunyai masa untuk membabitkan diri dalam seni itu.

Bagaimanapun, situasi bukan selalunya senang untuk pembuat biola Cremona, yang menikmati pertumbuhan pada 1960-1080, sebelum keadaan menjadi semakin sukar.

“Pasaran kami, yang merupakan pasaran elit, telah mengecut. Kami berdepan masalah amat serius,” kata Giogio Grisales, presiden konsortium artisan.

Semakin kurang persembahan dan tempat muzikal serta kecenderungan memilih alat antik oleh pemain biola berpengalaman dari abad ke-18 dan 19 telah menjejas teruk industri tersebut.

Walaupun sebelum koronavirus melanda utara Itali, Grisales berkata ‘sektor itu menghadapi masalah disebabkan persaingan sengit dari China dan Eropah Timur.’

China ialah pengeluar alat penggesek terkenal di dunia dengan AS$77.8 juta dalam eksport pada 2019, atau 1.5 juta alat, lebih separuh daripada pasaran dunia, menurut Pusat Perdagangan Antarabangsa.

Itali menduduki tempat kelima, dengan 4.6 peratus eksport dunia, di belakang United Kingdom dan Jerman tetapi di depan Perancis. Pelanggan utama Itali adalah Jepun dan Amerika Syarikat.

Pembuat biola Itali mesti bersaing dengan alat tiruan di pasaran, sesetengahnya dibuat di tempat lain dan diiklan sebagai buatan Cremona, namun paling teruk adalah persaingan datang daripada biola berharga murah.

“Alat yang bermutu bermula pada harga 25,000 euro, walaupun yang lain boleh dijual dengan kira-kira 10,000 euro atau kurang,” kata Grisales.

Namun dengan harga 200 euro atau kurang, seseorang juga boleh membeli biola buatan China, bersama penggesek dan sarung.

“Mereka adalah alat ekonomi, dibuat dalam siri, dan dikhaskan untuk pelajar baharu,” jelas pemain biola Fabrizio Longo.

Friedman, pembuat biola Perancis, berkata proses membuat biola di China adalah amat berlainan daripada seni pertukangan di Cremona.

“Mereka adalah buatan tangan, tetapi 10 pembuat biola bekerja se-tiap hari pada bahagian yang sama. Ia merupakan kerja rutin dan pada akhirnya anda memasangnya,” kata beliau. “Tidak adanya keunikan, tidak adanya keaslian.”

Di Cremona, menurut Grisales, ia mengambil sekurang-kurangnya 300 jam untuk menghasilkan sebuah biola, atau di antara dua dan tiga bulan.

Satu lagi cabaran yang dihadapi pembuat alat bertali adalah menonjol di kalangan pertandingan Cremona.

“Menjadi terkenal adalah agak menjerihkan,’ sementara mencari tempahan ‘adalah satu usaha tetap,’ kata Friedman. Sesetengah pembuat biola berupaya menawarkan harga lebih rendah, menjejas pembuat alat bertali lain, dengan bekerja di pasaran gelap dan mengelak cukai tinggi.

Meskipun cabaran berkenaan, Friedman berkata tumpuan pembuat biola di Cremona mewujudkan persekitaran sihat dan cita-cita untuk mencatat prestasi cemerlang.

“Apabila saya ditanya alat mana yang paling cantik yang telah saya hasilkan, bagi saya ia adalah biola seterusnya…” – AFP