Tradisi diketepikan, bendung COVID-19 diutamakan

Oleh Kurniawati Kamarudin

SEREMBAN – Pada hari Jumaat minggu lalu seluruh umat Islam di Malaysia dan beberapa negara lain di dunia akan menyempurnakan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa di bulan Ramadan.

Cuma kedatangan Ramadan tahun ini setentunya tidak akan sama dengan tahun-tahun sebelum ini. Tiada siapa yang dapat menduga, disebabkan satu virus yang menularkan wabak COVID-19, masyarakat seluruh dunia kini terpaksa menjalani kehidupan luar daripada kebiasaan sebagai satu norma baharu.

Ini termasuklah umat Islam yang setiap tahun menjalani ibadah puasa apabila tiba bulan mulia, bulan Ramadan yang pastinya disertai dengan pelbagai amalan serta tradisi.

Bagi masyarakat di Negeri Sembilan,  kedatangan Ramadan kali ini bukan sahaja berbeza tetapi terpaksa melupakan aktiviti ‘Mantai’, yang menjadi salah satu tradisi masyarakat di negeri yang sinonim dengan Adat Perpatih ini.

‘Mantai’ menurut dialek Negeri Sembilan bermaksud membantai dan sudah diamalkan sejak nenek moyang dahulu di mana penduduk bergotong-royong menyembelih lembu atau kerbau kemudian melapah dan membahagikan daging untuk semua.

Pengusaha barangan makanan kering Abdul Hamid Gulam Jasin (kiri) melayani seorang pelanggan yang membeli barangan keperluan sempena hari mantai. – Bernama
Peniaga Shahrul Nidzma menggantung tulang lembu untuk dijual kepada orang ramai sempena hari mantai menjelang Ramadan di Pasar Ampangan. – Bernama

Acara ini dilakukan sehari sebelum bermulanya ibadah puasa dan turut diamalkan sebelum sambutan Aidilfitri dan Aidiladha. Daging sembelihan akan dimasak rendang selain aktiviti membakar lemang. Ia menjadi antara acara wajib bagi setiap keluarga terutama di daerah Jempol, Kuala Pilah, Jelebu, Tampin, Rembau, malah di Seremban sendiri yang masih berpegang teguh dengan adat tersebut.

Bagi orang Negeri Sembilan, sememangnya seperti tidak lengkap menyambut Ramadan atau hari raya  jika tidak membuat lemang dan memasak rendang, yang merupakan makanan tradisi masyarakat di sini.

Penulis yang dilahirkan dan membesar di Kampung Lonek, Jempol, Negeri Sembilan, sangat merindui aktiviti tersebut yang semakin jarang dapat dilakukan setelah berhijrah ke Kuala Lumpur.

Penulis terbayang bagaimana kesibukan emaknya sejak awal pagi selepas solat subuh menyediakan bahan-bahan  seperti santan, buluh, beras pulut, daun pisang,  serai dan pelbagai lagi untuk memasak lemang dan rendang daging.

Menurut penulis, walaupun aktiviti gotong-royong menyembelih lembu atau kerbau sudah jarang dilakukan tetapi daging lembu dan  kerbau segar tetap juga ada di setiap rumah dengan membelinya daripada penjual.

Satu pemandangan biasa apabila hari mantai, di sepanjang jalan dari Ulu Bendul hingga ke Kuala Pilah dan Bahau, akan dipenuhi dengan gerai menjual daging lembu dan kerbau segar bagai cendawan tumbuh di tepi jalan utama.

Tambah penulis mengenai acara mantai ini juga merupakan salah satu aktiviti mera-patkan hubungan kekeluargaan yang menjadi keutamaan bagi masyarakat di Negeri Sembilan yang mementingkan muafakat dan perpaduan.

Ada yang sanggup mengambil cuti tahunan semata-mata untuk pulang ke kampung untuk bersama-sama keluarga pada hari tersebut. Kenderaan anak-anak yang memenuhi halaman rumah pastinya menambah kegembiraan ibu bapa yang tinggal di kampung.

Suasana riuh-rendah apabila begitu ramai yang berkumpul, bersama-sama melakukan pelbagai aktiviti antaranya memasak rendang dan membakar lemang yang dilakukan hampir setiap rumah.

Wangi bau asap tempurung kelapa dan kayu ketika memasak lemang dan juga merendang menusuk ke hidung apabila melalui rumah-rumah yang masih memeriahkan tradisi tersebut. Makanan yang dimasak biasanya akan disedekahkan pula kepada jiran-jiran berdekatan walaupun setiap keluarga memasak menu hidangan yang sama.

Penulis berkongsi cerita bahawa pada waktu malam selepas bergotong royong pada waktu siang, seluruh keluarga akan bersama-sama ke surau dan masjid yang berdekatan bagi menunaikan solat Isyak dan solat Sunat Tarawih malam pertama bersama-sama, diikuti sebelum subuh esoknya, akan bersahur dan kemudian berbuka puasa pertama seisi keluarga.

Menurut penulis tahun ini, sambutan Ramadan pastinya akan sunyi.  Acara mantai akan menjadi berbeza daripada kebiasaan apabila fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 29 April dan akan tamat pada 12 Mei, iaitu bersamaan 19 Ramadan.

Tiada pergerakan merentas sempadan negeri dibenarkan sepanjang PKP ini.

Ini bermakna kemeriahan untuk pulang ke kampung bagi menyambut kedatangan Ramadan tidak akan berlaku pada tahun ini kerana arahan jelas semua perlu berada di kediaman di mana mereka berada sehingga PKP berakhir.

Bagi mereka yang sempat balik ke kampung sebelum perintah PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lepas, sudah tentu akan memanfaatkan waktu ini bersama keluarga namun suasananya tetap berbeza.

Penulis menyarankan agar penjarakan sosial perlu sentiasa dijaga dan segala aktiviti perkumpulan tidak dibenarkan sama sekali termasuklah menunaikan solat sunat tarawih di surau dan masjid.

Penulis berkongsi ketika dia menghubungi emaknya untuk bertanyakan sambutan Ramadan tahun ini, dapat dirasai kesedihan pada suaranya.

“Tak apolah (tidak mengapalah)  tahun ni tak dapat berkumpul, harap-harap tahun dopan (depan) dapek (dapat)  kito berkumpul, sambut poso (puasa) dan rayo ( hari raya) samo-samo (sama-sama),” kata emak penulis dalam dialek Negeri Sembilan.

Bagi penulis, apa yang lebih penting sekarang ini untuk memastikan rantaian jangkitan wabak COVID-19 dapat diputuskan segera. Penulis juga menyaran-kan agar sama-sama berkorban untuk Ramadan dan mungkin sambutan Aidilfitri kali ini bagi memastikan kemenangan kita berjaya menewaskan koronavirus ini. – Bernama