Tradisi hidup aman damai perlu dikekalkan

KOTA KINABALU, 10 SEPT – Rakyat di negeri ini yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu mengekalkan tradisi hidup dalam suasana aman dan damai demi kemajuan serta kesejahteraan negara.

Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Jannie Lasimbang berkata dengan meraikan kepelbagaian kaum dan agama, ia dapat menyatukan rakyat dan dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu bersatu seperti kita berkongsi sama harapan, impian dan matlamat serta hidup dengan aman dan damai.

“Doa kita akan menjadi asas yang kukuh untuk perpaduan dan membawa kita kepada Malaysia yang bersih, selamat dan makmur,” katanya pada program Doa Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Kuil Sri Pasupathinath, Bukit Padang di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Malaysia Hindu Sangam Cawangan Sabah Datuk Dr K Mathavan, Presiden Persatuan Kimaragan Sabah Datuk Baintin Adun, Presiden Pertubuhan Kinabalu Singh Sabah Datuk Dr Jaswant Singh, Presiden Kuil Sri Pasupathinath Kota Kinabalu Brig Jen (B) Datuk A Arulpragasm dan Presiden Persatuan Bumiputera Kristian Sabah Pastor Jelin Wandak.

Jannie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kepayan menyifatkan penganjuran program itu akan membantu kerajaan mengukuhkan lagi perpaduan negara. – Bernama