Thursday, October 10, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tradisi lumba perahu zahirkan semangat kerjasama

    NEW YORK – Kehadiran perahu-perahu kayu menceriakan lagi suasana kawasan perairan tatkala para pengayuh bersungguh-sungguh bekerjasama mengayuhnya.

    Semangat juang di kalangan para peserta jelas kelihatan pada aksi kayuhan yang dilakukan demi memastikan bot yang dikayuhnya itu berjaya merentasi ke garisan penamat.

    Sambutan yang berkonsepkan budaya Cina itu telah diadakan di Taman Flushing Meadows Corona di Queens, wilayah paling timur di bandaraya New York di mana ia dianjurkan sempena Festival Tahunan Perlumbaan Bot Naga Hong Kong kali ke-27.

    Festival yang dianjurkan selama dua hari yang memberi penghayatan kepada sejarah dan budaya itu telah berjaya menarik seramai 50,000 penonton untuk menyaksikan aksi menarik yang dilakukan oleh 200 kumpulan yang menyertai aksi perlumbaan itu.

    “Ia merupakan sebuah acara yang sangat menyeronokkan di mana ia membuka ruang untuk sebuah keluarga berkumpul,” jelas Pengerusi Festival Perahu Naga di New York, Henry Wong kepada Xinhua sewaktu acara pembukaan rasmi yang dimulakan dengan acara perbarisan para atlet.

    Semangat juang dan kerjasama jelas terpancar dalam aksi kayuhan yang dilakukan oleh setiap peserta.
    Semangat juang dan kerjasama jelas terpancar dalam aksi kayuhan yang dilakukan oleh setiap peserta.
    Acara Lumba Perahu Naga di Taman Corona, Queens, New York berjaya menarik perhatian para penonton.
    Acara Lumba Perahu Naga di Taman Corona, Queens, New York berjaya menarik perhatian para penonton.

    “Budaya tersebut berasal dari China namun secara perlahan-lahan ia semakin popular di peringkat antarabangsa dari pelbagai latar termasuk di AS dan ternyata warga setempat berasa cukup teruja untuk mengetahui secara lebih mendalam mengenai budaya China dan terus kekal aktif,” jelas Wong.

    Peserta dari serata AS dan Kanada giat mengambil bahagian dalam menyertai festival tersebut di mana pesertanya itu adalah terdiri daripada para remaja sehingga yang berusia 60 tahun.

    Seorang lelaki pernah memiliki pengalaman dalam menyertai Bot Naga di Hong Kong selama 22 tahun.

    Selain melakukan aktiviti keseronokan di kawasan perairan, terdapat juga pameran budaya termasuk persembahan muzik, seni tarian tradisi dan hidangan makanan Cina yang lazat turut disajikan di sepanjang acara tersebut.

    Menurut legenda, budaya perlumbaan bot naga telah dimulakan oleh seorang penyair bernama Qu Yuan yang hidup sekitar 279-340 SM.

    Beliau telah mula menganjurkan acara itu di kampung halamannya, Chu namun Raja Chu sangat tidak menyukai perkara tersebut dan mengusirnya.

    Setelah diusir, Qu Yuan tetap terus menulis puisi yang menumpukan perhatian pada kebimbangan beliau terhadap kampung halamannya dan penduduk setempatnya.

    Bagaimanapun beliau berasa cukup terkejut tatkala mendengar kisah buruk yang menyatakan bahawa kawasan kampung halamannya telah diserang.

    Justeru, perkara itu telah membuatkan beliau segera mendayung bot di Sungai Ni Lo menuju ke kampung halamannya.

    Ketika mendengar perkhabaran tersebut, masyarakat setempat juga turut melakukan perkara yang sama seperti Qu Yuan demi menyelamatkan ahli keluarga mereka.

    Pelbagai bangsa di AS bersatu dalam menghayati budaya tradisi acara Perlumbaan Perahu Naga.
    Pelbagai bangsa di AS bersatu dalam menghayati budaya tradisi acara Perlumbaan Perahu Naga.

    Bagi memastikan keselamatan mereka di sepanjang berkayuh di kawasan perairan tersebut maka mereka juga harus memukul gendang dan tetap memperkuatkan kayuhan agar mereka terselamat daripada serangan ikan gergasi dan naga air.

    Di samping itu mereka juga turut melemparkan ladu nasi ke dalam air sebagai satu loncatan semangat dan budaya tersebut kekal masih diamalkan sehingga kini malah ladu nasi itu juga menjadi antara hidangan popular sewaktu acara Festival Bot Naga.

    Walaupun acara perlumbaan tersebut terus berkembang selama berabad-abad, Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong (HKETO) di New York tetap berusaha untuk mengekalkan tradisi Festival Perlumbaan Perahu Naga di Big Apple.

    “Acara perayaan pada tahun ini jelas cukup penting kerana ia menandakan ulang tahun ke-20 kembalinya Hong Kong ke China,” jelas Pengarah HKETO di New York, Joanne Chu yang mana syarikat tersebut kekal menjadi penaja utama dalam menjayakan acara tersebut sejak 27 tahun lalu.

    Ternyata penganjuran acara Festival Perlumbaan Perahu Naga di Queens dianggap cukup strategik memandangkan ia adalah antara kawasan yang memiliki keturunan terdiri dari bangsa Cina berbanding kawasan lain di AS.

    Di samping itu, penganjuran festival itu di Taman Corona yang turut pernah menganjurkan acara Pameran Dunia pada tahun 1962, dianggap cukup sempurna memandangkan masyarakat dapat berkumpul bersama seisi keluarga di mana mereka berpeluang untuk melakukan aktiviti riadah sambil berseronok serta menghayati budaya dan sejarah Perlumbaan Perahu Naga.

    “Ia jelas merupakan satu acara sukan yang agak sukar berbanding dari apa yang saya bayangkan namun ia tetap menyeronokkan,” jelas Walid yang menyertai kumpulan UPS dalam acara perlumbaan itu dan ia juga merupakan penyertaan sulung beliau.

    “Penyertaan dalam acara ini memang merupakan satu perkara yang menyeronokkan di mana ia melatih semangat juang dan bekerjasama sehingga berjaya mengayuh perahu itu ke garisan penamat,” jelas Lily, seorang peserta wanita muda dalam kumpulan Boston. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda