Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Tradisi pembuatan gendang berdepan arus kemodenan di Uganda

    MPIGI, UGANDA – Uganda ialah sebuah negara di rantau Afrika Timur dengan kepelbagaian budaya yang kaya dan diwarisi kepada generasi melalui penceritaan dan amalan seharian.

    Gendang adalah salah satu alat komunikasi yang mesti dimiliki oleh penduduk desa dalam suasana tradisional Afrika. Apabila pihak berkuasa desa menggunakan gendang untuk menyampaikan mesej, penduduk perlu mendengar dengan teliti. Ia juga merupakan alat muzik utama pada masa kesedihan, penuaian tanaman yang buruk, atau pada masa gembira, seperti menobatkan raja baharu.

    Gendang kini dengan cepat digantikan dengan bentuk komunikasi lain, menjadikan kemahiran membuat gendang tradisional semakin hilang ditelan zaman.

    Mpambire merupakan sebuah desa di daerah Mpigi, tengah Uganda, dikenali sebagai tempat kelahiran gendang di negara itu. Desa ini dipenuhi dengan bengkel sementara di mana gendang dibuat daripada batang dan kulit pokok dan kulit haiwan. Batangnya dipotong dari hutan berhampiran yang kini dengan cepat digantikan oleh taman dan penempatan penduduk yang semakin berkembang.

    Francis Yiga, seorang tukang di desa itu, memberitahu Xinhua berkata kemahiran membuat gendang biasanya diwarisi daripada datuk dan nenek atau ibu bapa kepada anak-anak mereka. Ia adalah kemahiran istimewa yang memerlukan masa untuk dipelajari.

    Gambar menunjukkan gerai menjual gendang di Desa Mpambire di Daerah Mpigi, Uganda. – Xinhua
    Francis Yiga, seorang tukang ketika ditemu bual pemberita. – Xinhua
    Kelihatan seorang lelaki membuang gendang di Desa Mpambire. – Xinhua
    Francis Yiga mengatakan kemahiran membuat gendang biasanya diwarisi daripada datuk dan nenek atau ibu bapa kepada anak-anak mereka. – Xinhua
    Kelihatan pelbagai saiz gendang yang dibuat oleh tukang. – Xinhua

    “Saya mula belajar membuat gendang sejak di bangku sekolah lagi. Sekembalinya dari sekolah, saya menyertai datuk untuk membantunya. Ada juga keuntungan kewangan jadi saya tertarik dengan pembuatan gendang,” kata Yiga. “Kami telah mendapat beberapa latihan dan kami sedang menanam pokok walaupun ia mengambil masa lebih lama untuk membesar. Kami juga pergi ke tempat lain di negara ini untuk mendapatkan batangnya, terutama di kawasan yang mereka tidak tahu kegunaannya.”

    Bergantung kepada saiz gendang dan keperluan pelanggan, proses pembuatan mengambil masa sehingga enam bulan bagi dipamerkan untuk dijual, kata Fred Mwanjje, jiran Yiga yang juga seorang pembuat gendang. Mwanjje berkata terdapat pelanggan yang membuat pesanan khas, bermakna awda perlu membuat beberapa set dengan nada tertentu.

    Kedua-dua Mwanjje dan Yiga percaya zaman dahulu yang indah telah hilang selepas kemunculan alat muzik moden seperti piano elektrik, gitar, dram moden, mengisytiharkan bahawa mata pencarian mereka terancam oleh kemodenan.

    “Kami telah menghadapi banyak cabaran kerana alat muzik elektrik. Kami tidak membuat banyak jualan seperti yang kami lakukan dahulu. Contohnya, di sekolah, gereja di mana kami pernah menjual kepada mereka gendang tetapi sekarang mereka membeli piano. Ini adalah menjejaskan perniagaan kami. Pada zaman dahulu, orang membeli gendang untuk dimainkan di majlis perkahwinan tetapi hari ini mereka mengupah perkhidmatan sistem bunyi awam,” kata Yiga.

    Pakar bersetuju dengan pembuat gendang, mengatakan menerima kemodenan tanpa menilai kesan negatifnya terhadap nilai budaya Afrika adalah bahaya.

    Sam Okello, pengerusi lembaga pemegang amanah Pusat Kebudayaan Kebangsaan Uganda, sebuah institusi yang dikendalikan kerajaan yang bertanggungjawab mempromosikan budaya, memberitahu Xinhua bahawa walaupun kemodenan adalah baik, ia juga boleh mengganggu secara negatif, terutamanya di kalangan orang muda yang mungkin mengamalkannya, melupakan nilai tradisi mereka. Beliau menegaskan negara berkembang berdasarkan nilai budaya mereka.

    Yiga berkata, walaupun kemodenan telah menimbulkan ancaman terhadap kewujudan gendang, ia sukar untuk menghapuskan gendang itu kerana terdapat penduduk tempatan yang masih menghargai budaya mereka.

    “Bagi orang yang menghargai gendang, mereka mesti membelinya contohnya di sekolah, ada masanya untuk persembahan kebudayaan, awda tidak boleh menggunakan piano tetapi gendang,” katanya.

    Kesan pandemic COVID

    Wabak pandemik COVID memburukkan lagi keadaan yang sudah tidak menentu, menurut Mwanjje.

    Sekolah, institusi agama dan pusat hiburan, yang merupakan pelanggan utama, semuanya ditutup kerana langkah penutupan yang ketat untuk mengawal penularan wabak itu. Ini bermakna para tukang terpaksa menutup kedai.

    “COVID banyak memberi kesan kepada kami kerana semua tempat kami menjual produk kami ditutup, ini termasuk sekolah, institusi agama, pelancong tidak datang. Malah perhimpunan tidak dibenarkan,” kata Mwanjje.

    Mwanjje, seperti kebanyakan rakan perniagaannya, mempunyai kebimbangan bahawa kebanyakan pelanggan mereka mungkin telah berpindah, beberapa buah perniagaan ditutup. Para tukang kini menaruh harapan mereka pada ekonomi yang dibuka semula
    baru-baru ini, percaya perniagaan akan kembali seperti biasa sebelum pandemik.

    Kumpulan muzik di Uganda juga menerima idea bermain alat muzik tradisional bersama-sama dengan alat elektrik moden. Beberapa kumpulan muzik di Kampala, ibu negara Uganda, sudah pun menggabungkan alat muzik tradisional dan moden untuk melaungkan perubahan Afrika dalam era globalisasi budaya.

    Selain melihat gendang sebagai alat muzik, Mwanjje dan Yiga sedang mencipta cara untuk memasarkan gendang sebagai hiasan, mainan untuk kanak-kanak dan cenderahati untuk pelancong. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...