Tradisi perkhidmatan porter masih hidup di Istanbul

ISTANBUL – Hanya beberapa blok dari Grand Bazaar Istanbul, seorang porter, Bayram Yildiz menunggu gilirannya di lorong gelap untuk mengangkat karung besar di belakangnya hampir dua kali ganda berat badannya.

Beberapa orang lagi berlengah di sebelahnya, mengambil tekstil dari lori dan membawanya ke kedai-kedai tempatan sebelum matahari terbit, kepala mereka tunduk dan lutut dibengkokkan.

“Saya separuh Hercules dan separuh Rambo,” gurau lelaki berusia 40 tahun yang berotot itu, mendakwa dia boleh membawa sehingga 200 kilogram berat pada satu masa.

Yildiz ialah salah seorang daripada ratusan lelaki yang berkumpul sebelum subuh di tengah-tengah kawasan kuno ibu kota komersial Turki, melanjutkan tradisi porter atau pengangkut barangan sejak zaman Uthmaniyyah.

Sarat dengan pakaian dan fabrik, mereka bergerak perlahan melintasi jalan-jalan yang lengang sebelum bandar itu sibuk, membawa dagangan di belakang mereka, ada yang mengeluh tentang nasib mereka.

“Ia adalah kerja yang paling teruk, tetapi tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan,” kata Osman, yang telah melakukan kerja-kerja yang menjerihkan ini selama 35 tahun.

Kelihatan beberapa orang porter menunggu giliran mereka untuk mendapatkan pekerjaan pada awal pagi berhampiran Grand Bazaar di Istanbul. – AFP

Necdet Sakaoglu, sejarawan pakar dalam Istanbul dan sejarah Uthmaniyyah ketika ditemui pemberita di Istanbul. – AFP
Seorang porter membawa karung di jalan pada awal pagi berhampiran Grand Bazaar di Istanbul. – AFP
Mehmet Toktas menunggu pemilik kedai untuk mengupahnya berhampiran Grand Bazaar. – AFP
Kelihatan Mehmet Toktas mengangkat karung di belakangnya. – AFP

Sejarawan bandar Necdet Sakaoglu mencatatkan kemuncak tradisi porter Istanbul pada awal 1800an, apabila Sultan Mahmud II memerintah apa yang masih dikenali sebagai Konstantinopel.

Kebanyakan kuli (dipanggil ‘hamal’ dalam bahasa Turki) pada masa itu adalah orang Armenia, mencerminkan sejarah pelbagai budaya nadi metropolis itu.

Hari ini, perdagangan itu dipegang terutamanya oleh etnik Kurd dari wilayah Malatya dan Adiyaman yang pelbagai etnik di tenggara, di mana generasi keluarga telah memupuk hubungan dengan pedagang Istanbul.

“Porter ini dapat menyemai kepercayaan (dengan pemilik perniagaan) sebelum ada telefon bimbit,” kata Sakaoglu.

“Oleh kerana struktur bandar, perdagangan dan topografi, bandar tidak boleh berfungsi tanpa porter.”

Wilayah dikuasai

Porter biasanya bekerja dalam skuad, di bawah pimpinan seorang kapten yang bertanggungjawab untuk menyelaraskan pekerjaan dengan peniaga dan mengagihkan gaji pada akhir syif.

Yildiz berkata dia memperoleh kira-kira 200 hingga 300 lira (AS$20 hingga AS$30), kadangkala lebih pada hari yang baik. Tetapi tugas itu memerlukan kod etika tegas, dengan setiap skuad mengawal daerah mikro tertentu dan tidak dapat menyeberang ke wilayah orang lain.

“Jika saya cuba pergi ke sana, mereka tidak akan membenarkan saya, ia adalah wilayah mereka,” kata kuli Mehmet Toktas, 49, sambil menunjuk ke arah bangunan di seberang jalan.

Selama hampir 30 tahun, enam hari seminggu, Toktas telah membawa beban menaiki tangga bangunan tujuh tingkat yang sama, membina fizikal seorang ahli gusti tetapi pendapatan semakin berkurangan seiring masa.

Lebih daripada seratus peniaga di bangunan itu bergantung pada lelaki seperti Toktas, kereta sorong tidak banyak digunakan di kediaman lama tanpa lif dan hanya lorong sempit.

Tetapi berdiri di bawah lampu neon di tingkat bawah, Toktas berasa seperti salah seorang yang terakhir terselamat daripada perdagangan yang hilang, ditinggalkan oleh peniaga yang berpindah ke lokasi yang lebih mudah diakses dan rakan memilih kerja yang kurang meletihkan.

“Pernah ada empat atau lima daripada kami di sini, tetapi yang lebih tua telah pergi dan kini saya keseorangan. Pada masa itu, kerja ini dibayar dengan baik,” katanya.

“Sekarang, jumlah kerja telah berkurangan dan kami tidak mempe-roleh pendapatan yang banyak.”

Sakit lutut yang teruk

Toktas berkata dia masih memperoleh pendapatan sehingga AS$20 sehari, tetapi hampir tidak mampu untuk mengambil sebarang masa cuti jika dia mahu mendapatkan gaji minimum rasmi, yang kini bernilai kira-kira AS$350 sebulan.

Di samping itu, dia tidak mempunyai pelan kesihatan atau keselamatan sosial, bermakna dia perlu berhati-hati untuk memastikan belakangnya bertahan sehingga persaraannya yang dirancang pada usia 60 tahun.

“Setiap orang yang lebih tua daripada saya telah dibedah lutut atau belakang,” kata Toktas.

Di sekitar kawasan kejiranan, beberapa porter kelihatan seperti orang tua, rambut mereka beruban dan kaki mereka kurus seperti tiang. Namun, walaupun tulang rosak dan hernia sekali-sekala, beberapa orang porter tetap bekerja sehingga mereka berumur 70 tahun. Bagi peniaga kota lama, para porter ini adalah satu rahmat.

“Mereka adalah penghubung yang tidak boleh kita lepaskan,” kata peniaga Kamil Beldek, berdiri di belakang kaunter kedai kecilnya. “Bagi kami, apa yang mereka lakukan kelihatan sangat sukar, tetapi bagi mereka ia adalah mudah.”

Toktas merasa kurang pasti. Walaupun dia berasa berguna dan diperlukan, dia meragui bahawa ramai orang lain akan mengikuti langkahnya.

Tingkat atas bangunannya kini kosong, dengan pemborong lebih suka berpindah ke lokasi yang lebih terpencil di mana logistik lebih mudah diatur.

“Dalam 10 atau 15 tahun, pekerjaan ini tidak akan wujud lagi,” Toktas meramalkan. – AFP