Tradisi perlumbaan unta kembali di Sinai

PADANG PASIR EL TIH, MESIR – Terbentang luas di kaki penara di padang pasir Sinai, ratusan orang Badwi berkumpul untuk berlumba dengan unta mereka selepas cuti selama enam bulan disebabkan koronavirus.

Diselubungi debu pasir yang berterbangan dibawa oleh lebih 500 unta yang berlari, mereka mendapat sorakan daripada tuan mereka dalam pakaian tradisional jalabiya dan kefiyah.

Perlumbaan unta ialah sukan tradisional yang popular di kebanyakan negara Arab, terutamanya di rantau Teluk. Dan di Mesir, orang Badwi di padang pasir Sinai Selatan telah meneruskan tradisi berkenaan.

Namun acara perlumbaan telah digantung sejak Mac berikutan wabak COVID-19, dan arahan hanya dikeluarkan pada awal bulan bahawa mereka boleh diteruskan pada hujung minggu lalu.

Unta-unta berlari di balapan sejauh dua kilometer di penara Tih, menamatkannya dalam masa beberapa minit sahaja tatkala mereka diikuti oleh penonton dan tuan punya yang menaiki kenderaan SUV untuk melihat secara lebih dekat aksi tersebut.

Unta membawa joki di belakang mereka, berlari di balapan semasa perlumbaan di padang pasir Sinai Selatan, Mesir. – AFP
Unta berlari di balapan semasa satu perlumbaan di padang pasir Sinai Selatan di Mesir pada 12 September 2020. – AFP
Orang Badwi menyaksikan perlumbaan unta di padang pasir Sinai Selatan di Mesir. – AFP

Pertandingan itu ‘merupakan latihan untuk perlumbaan antarabangsa, yang sepatutnya berlangsung pada Oktober di Sharm el-Sheikh,” beritahu Saleh al-Muzaini, ketua kelab unta Nuweiba, kepada AFP.

Kumpulan demi kumpulan unta, ditempatkan dalam kategori berlainan mengikut umur dan sama ada mereka adalah jantan atau betina, memasuki balapan kotor yang didereti oleh benteng pasir di kedua-dua bahagian.

Di belakang mereka duduk joki mekanikal yang memakai jersi perlumbaan dan mengayun-ayunkan cemeti, yang lebih ringan daripada penunggang manusia.

Dalam perlumbaan berlainan, budak lelaki menunggang unta untuk menamatkan perlumbaan sejauh 10 kilometer.

Di antara penonton yang hadir adalah Mostapha Abu al-Fadl, 32 tahun, seorang ahli geologi di sebuah syarikat minyak di Kaherah, yang datang khususnya untuk menyaksikan perlumbaan itu.

“Apabila saya dengar mereka sedang menganjurkan perlumbaan sekali lagi, saya memberitahu kawan-kawan saya betapa seronoknya. Kami perlu datang dan lihat,” katanya.

Kepada orang Badwi, perlumbaan adalah satu cara untuk mengekalkan warisan tradisional itu.

“Terdapat perlumbaan unta sebelum ini, tetapi kami menghidupkannya semula’ dalam beberapa tahun ini, beritahu Sheikh Hassan, dari puak Alegat, yang menganjurkan acara tersebut, kepada AFP.

“Unta tidak akan lenyap bagi kami. Kami boleh menggunakan mereka selama berabad-abad. Jika unta meninggalkan tempat ini, orang Badwi juga akan meninggalkan tempat ini.”

Mesir setakat ini telah mencatat lebih 100,000 kes koronavirus, dan lebih daripada 5,500 kematian.

Langkah yang ketat, termasuk mengharamkan perhimpunan besar, telah dikenakan di negara sejak Mac untuk mengekang penularan wabak.

Perlumbaan unta, diadakan setiap dua atau tiga bulan, sering menarik penonton besar yang terdiri daripada pelancong, pelawat dan orang Badwi ke tengah padang pasir Sinai.

Bagaimanapun, Sheikh Hassan, berkata semenanjung yang mempunyai penduduk yang tidak padat dengan cuaca berangin dan kering tidak terjejas teruk oleh pandemik, dan tidak adanya langkah koronavirus yang dilaksanakan dengan ketara untuk perlumbaan.

Menggantung perlumbaan mengakibatkan kerugian besar untuk tuan punya unta, yang masih perlu membayar untuk latihan haiwan mereka, makanan serta pemeriksaan kesihatan.

Dalam tempoh enam bulan sahaja, pemilik unta kerugian kira-kira 10 dan 15 juta pound Mesir (di antara AS$625,000 dan AS$940,000), menurut Sheikh Hassan.

Bagi pemilik Soleiman Hamad, perlumbaan pada Sabtu berakhir dengan keputusan mengagumkan kerana haiwannya memenangi tempat pertama dalam kategorinya.

Tidak adanya hadiah wang ditawarkan, tetapi pemenang membawa pulang trofi berprestij yang juga membantu menambah nilai haiwan mereka.

Bagi Hamad dan orang lain, perlumbaan unta melambangkan satu sumber pendapatan tambahan, dengan syarat mereka juga mempunyai wang untuk melatih, memberi makan serta menjaga haiwan tersebut.

“Ia menelan belanja yang tinggi, tetapi ia merupakan hobi kegemaran kami,” beritahunya kepada AFP.

Setiap unta menelan kos sehingga 2,000 pound Mesir setiap bulan untuk makanan.

Seekor unta yang terlatih boleh dijual sehingga dua juta pound Mesir, menurut Sheikh Hassan.

Orang Badwi di Sinai Selatan biasanya menumpu pada negara-negara Teluk, di mana perlumbaan unta adalah aktiviti popular dan menguntungkan.

Sekarang mereka menaruh harapan untuk mendapatkan sokongan berharga dengan satu lawatan oleh Presiden Abdel Fattah al-Sisi ke semenanjung itu pada bulan depan, yang mungkin memberikan satu rangsangan penting kepada perniagaan mereka.