Tradisi simpan jamin stok beras

KUCHING, 17 JAN – Tradisi menyimpan stok lebih sebulan musim perayaan yang diamalkan pemborong beras di Sarawak selama ini, membolehkan bekalan makanan ruji itu sentiasa mencukupi, kata seorang pegawai BERNAS Sarawak hari ini.

Menurut Ketua Jabatan Perhubungan Kerajaan dan Pemegang Taruh BERNAS Sarawak, Ismail@Idris Yusup, permintaan untuk beras memang meningkat setiap kali berlangsungnya perayaan, menyebabkan pemborong sentiasa bersedia lebih awal menghadapinya.

“Biasanya trend pemborong di negeri ini adalah dengan membuat simpanan beras sebulan lebih awal sebelum musim perayaan, supaya stok itu sentiasa ada dan mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis BERNAS bersama media di sini.

Beliau berkata untuk pemborong-pemborong di Sarawak, BERNAS membekalkan secara purata di antara 8,000 dan 10,000 metrik tan beras setiap bulan, untuk memenuhi permintaan di negeri ini.

“Setakat ini BERNAS telah menyediakan bekalan beras yang mencukupi, khususnya bekalan beras pulut untuk Tahun Baru Cina dan bekalan adalah stabil di seluruh negeri,” katanya. – Bernama