Tradisi ukiran henna sebagai tarikan pelancong

ASWAN, MESIR – Apabila kita melakukan aktiviti pelancongan, pasti kita tidak akan terlepas merakamkan kenangan untuk membuktikan kita pernah melancong ke negara tersebut.

Kita setentunya akan merakamkan detik kenangan tersebut melalui pengambilan foto dan malah kita juga akan mengongsikannya terus melalui laman media sosial seperti Instagram. Bahkan untuk merakamkan kenangan tersebut, pelancong juga boleh mempamerkan oleh-oleh tempatan seperti cenderamata, lukisan, kraf tangan dan sebagainya.

Namun oleh-oleh itu tidak hanya tertumpu dari segi kebendaan, ia juga boleh melalui kesenian halus seperti ukiran henna. Di Aswan Mesir, ukiran henna ini merupakan satu tradisi asli masyarakat Nubia yang menjadinya sebagai tarikan pelancong di sana.

Di kampung-kampung Nubia yang terletak di Mesir atas di wilayah Aswan melewati Sungai Nil, adalah satu perkara yang biasa untuk melihat pelancong wanita tempatan atau asing duduk di hadapan seorang pengukir henna Nubia di tepi jalan bazar berwarna-warni atau di dalam kedai kopi untuk mendapatkan lukisan ukiran henna di tangan.

Ukiran henna yang paling popular dari kampung-kampung Nubian ialah Gharb Sehel. Nama sebuah kampung secara harfiah bermaksud Sehel Barat kerana ia terletak di sebelah barat Pulau Sehel di barat daya sungai Aswan.

Seorang artis henna Nubia sedang melakar ukiran henna pada seorang wanita di tepi jalan bazar di Aswan. Aktiviti tersebut merupakan satu perkara biasa yang dapat dilihat di Aswan dan aktiviti ini merupakan satu tradisi bagi masyarakat Nubia. – Xinhua
Artis henna Nubia melakarkan ukiran henna pada tangannya sendiri dengan lukisan ‘ace of spade’. – Xinhua
Renate Horndl, seorang pelancong wanita dari Jerman menunjukkan ukiran henna di bahagian belakang tangan kanannya dan jari. – Xinhua

Seluruh kampung, dengan rumah pendeknya yang kebanyakannya berwarna putih, biru dan jingga, kelihatan seperti pasar yang sibuk untuk cenderahati buatan tangan dan kedai kopi, dengan pengukir henna dilihat berada di mana-mana.

“Kami telah mengamalkan seni ini dari ibu bapa dan datuk nenek kami. Ini adalah salah satu daripada tradisi asli Nubia,” kata Amany Abdel-Hafiz, seorang pengukir henna Nubia pada awal 30an, yang juga memiliki ukiran henna dari ‘ace of spade’ di belakang tangan kirinya.

“Kebanyakan pelanggan suka ukiran dengan bentuk dan simbol Nubia dan Pharaonic, seperti ‘Key of Life’ dan ‘Eye of Horus’ kerana mereka melambangkan harapan dan keyakinan. Pelancong Sepanyol, Itali dan Amerika suka ukiran henna Nubia,” wanita Nubia memberitahu media di sebuah bazar di Gharb Sehel.

Beliau menyatakan bahawa kebanyakan seniman henna Nubia dapat membezakan antara kebangsaan pelancong dengan penampilan dan mereka juga tahu beberapa bahasa mereka untuk berurusan dengan mereka, termasuk Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol dan Jerman.

Henna adalah jenis tumbuhan yang ditanam melewati sungai di Aswan yang kebanyakannya ditanam oleh masyarakat Nubia, kumpulan etno-linguistik di selatan Mesir. Ia juga digunakan sebagai pewarna untuk telapak tangan, rambut dan kuku sebagai tradisi di beberapa wilayah Mesir, terutama di majlis perkahwinan.

“Kami mendapatkan daun henna untuk dikisar, dikeringkan, ditapis dan kemudian mencampurkannya dengan air untuk menghasilkan ukiran henna,” kata pengukir henna itu sambil menyatakan bahawa Nubia menggunakan henna tradisional dan asli, yang bebas dari bahan kimia dan tidak menyakitkan kulit.

Di sudut lain di bazar di kampung Nubia, seorang gadis muda sedang menantikan ukiran henna di tangannya siap sambil disaksikan oleh ibu bapa dan kakaknya.

“Saya menyukai ukiran henna, saya memilih untuk mendapatkan lakaran bunga di belakang tangan dan jari saya,” kata Yousra Hesham, pelajar sekolah rendah kanan berusia 11 tahun.

“Saya juga pernah mencuba ukiran henna sebelum ini di wilayah lain, tetapi ia sangat berbeza di sini kerana henna Nubia adalah asli dan bentuk dan simbolnya lebih menarik,” gadis muda itu menambahkan dengan gembira. Ukiran henna dapat hilang dalam masa tertentu dan boleh dibuang bila perlu.

Donia Ahmed, seorang wanita muda Nubia, duduk di bangku simpanan di kedai kopi keluarganya di kampung itu dengan beberapa katalog ukiran untuk membolehkan pelanggan memilih reka bentuk ukiran henna yang mereka mahu. Donia sendiri mempunyai ukiran henna bunga yang terbentang dari belakang tangannya hingga separuh lengannya.

“Saya telah melukis ukiran henna selama 14 tahun, jadi saya memulakan profesi ini sejak saya berusia 11 tahun. Beberapa pelancong tempatan dan asing suka mendapatkan ‘Key of Life’ atau ‘Eye of Horus’ atau kedua-duanya. Yang lain lebih memilih bunga, scarab, cakera matahari, dan lain-lain. Ini mengikut cita rasa mereka,” katanya ketika melukis ukiran bunga untuk pengunjung Mesir.

Pelanggannya, Dina Ghanem, seorang wanita muda berusia 20an, berkata bahawa ia adalah kali pertama beliau melawat Aswan dan dia tertarik kepada ukiran henna dan mahu memilikinya.

“Ia sangat cantik, saya memilih ukiran ‘Key of Life’, saya percaya seni henna ini menarik bagi pelancong tempatan dan asing,” kata wanita muda Mesir itu kepada media.

Di bahagian kampung yang lain, Renate Horndl, seorang wanita warga emas Jerman, berhenti di kedai cenderahati buatan tangan Nubia. Dia sudah mempunyai ukiran henna di bahagian belakang tangan kanannya dan jari.

“Saya rasa saya terlalu tua untuk ukiran henna tetapi saya melakukannya,” katanya sambil ketawa.

“Wanita Jerman, terutamanya anak-anak muda, akan suka ukiran henna kerana mereka secara umumnya berminat dengan ukiran di Jerman, contohnya, saya mempunyai empat orang anak dan dua daripadanya mempunyai ukiran henna, jika mereka bersama saya di Aswan, setentunya mereka juga mahu mendapatkan ukiran itu,” kata wanita Jerman kepada media. – Xinhua